Wednesday, October 24, 2012

Namun Apakan Daya

Salam sejahtera.........sekadar menceritakan sedikit pahit manis sebagai pencinta dan penyelamat haiwan terutama kucing dan anjing. Terlalu banyak haiwan yang memerlukan bantuan di luar sana namun hanya beberapa sahaja yang dapat aunty selamatkan bersama uncle. Kalau di ikutkan hati mahu sahaja semua yang terdampar di jalanan, kedai dan merata-rata tempat diselamatkan dan bawa tinggal bersama kami. 


Namun apakan daya, tidak cukup ruang, wang, dan juga tenaga. Apabila menyelamatkan anjing seperti tercedera akibat kemalangan dan sebagainya memerlukan banyak kesabaran terutama dari segi mendapatkan rawatan dan penjagaan selepas rawatan. 

Pernah beberapa kali, kami cuba untuk mencarikan 'adopter' untuk mereka tetapi kebanyakkannya menemui kegagalan. Kadangkala sebak di hati terutama apabila kami terpaksa melepaskan mereka semula ke tempat asal walaupun mereka ini sudah dikasi dan divaksin. Berbeza dengan nasib kucing, walaupun tiada yang hendak 'adopt' kebanyakannya kami ambil untuk tinggal bersama kami. Dugaan mendatang terlalu hebat terutama ketika menjaga mereka sementara menunggu mereka sihat terutama anjing. 

Tidak dinafikan kasih sayang telah terpahat dihati semasa dalam penjagaan kami. Alhamdulillah setakat ini ada sebanyak 10 ekor yang telah kami dapatkan tempat tinggal atau 'forever home'. Beginilah liku-liku yang dihadapi terutamanya anjing dan kucing dan ini merupakan satu cabaran buat kami. Semoga lebih ramai lagi orang-orang Islam yang akan melibatkan kerja amal sedemikian walaupun ada kelihatan peningkatan. 

Akhir kata, diharapkan kita sebagai pencinta dan penyelamat haiwan, teruskan melakukan tugas kita dan jangan saling bertelagah. Matlamat tidak akan tercapai selagi kita masih di takuk lama maka carilah pembaharuan dengan mengorak langkah ke hadapan tanpa berbalah antara satu sama lain. 

Ingatlah banyak lagi 'strays' yang perlukan perhatian dan pertolongan kita yang dijadikan sebagai khalifah di muka bumi ini.