Oleh Lutfi Latif
Dengan Nama Allah Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Segala pujian bagi Allah SWT dengan limpah kurnia, rahmat dan kasih sayang-Nya, saya masih diberikan kudrat untuk menulis di blog ini. Saya juga bersyukur kerana pada kali ini, Allah SWT telah memberikan saya semangat untuk membaca kitab Fath al-Bari Syarh Sahih al- Bukhari karya Syeikh al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani.
Baru-baru ini teman saya ada membawakan sebuah rakaman video tentang fiqh Imam al-Bukhari berkaitan dengan anjing. Apakah ianya najis atau tidak? Perkara inilah yang mendorong saya untuk menulis tentang anjing dan apakah yang telah disyarahkan oleh Syeikh Ibnu Hajar al-Asqalani.
Imam al-Bukhari pada awal perbincangan berkaitan dengan anjing telah membawakan pendapat Atha' bin Abi Rabah, al-Zuhri dan Sufyan al-Tsauri tentang kesucian air liur anjing.
وَكَانَ عَطَاءٌ لاَ يَرَى بِهِ بَأْسًا أَنْ يُتَّخَذَ مِنْهَا الْخُيُوطُ وَالْحِبَالُ ، وَسُؤْرِ الْكِلاَبِ وَمَمَرِّهَا فِى الْمَسْجِدِ . وَقَالَ الزُّهْرِىُّ إِذَا وَلَغَ فِى إِنَاءٍ لَيْسَ لَهُ وَضُوءٌ غَيْرُهُ يَتَوَضَّأُ بِهِ . وَقَالَ سُفْيَانُ هَذَا الْفِقْهُ بِعَيْنِهِ ، يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى ( فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا ) وَهَذَا مَاءٌ ، وَفِى النَّفْسِ مِنْهُ شَىْءٌ ، يَتَوَضَّأُ بِهِ وَيَتَيَمَّمُ
Kemudian, Imam al-Bukhari telah membawakan beberapa hadis yang menjadi dalil bagi pendapat tersebut. Pertama, hadis yang menyebut "Jika anjing minum dalam bekas salah seorang di antara kalian, maka basuhlah bekas tersebut sebanyak 7 kali."
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ « إِذَا شَرِبَ الْكَلْبُ فِى إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْسِلْهُ سَبْعًا
Hadis yang semakna dengannya telah dijadikan dalil di sisi mazhab Syafi'i tentang kenajisan anjing. Tetapi hadis-hadis ini mendapat kritikan yang hebat. Ini kerana hadis-hadis yang menyebutkan tentang basuhan jilatan anjing itu adalah diriwayatkan oleh Abu Hurairah, padahal Abu Hurairah sendiri tidak mengamalkan hadis tersebut kerana berfatwa memadai membasuh sebanyak 3 kali sahaja. Oleh sebab itu, ulama mengkritik hadis ini kerana perawi (orang yang meriwayatkan) sendiri tidak mengamalkan hadis tersebut.
Tetapi, Syeikh Ibnu Hajar telah memberitahu bahawa kenyataan itu tidak boleh diterima, kerana terdapat riwayat lain yang menyebutkan bahawa Abu Hurairah menyuruh membasuh sebanyak 7 kali akan jilatan anjing.
Kritikan kedua terhadap hadis tersebut ialah ada hadis lain yang menyebutkan bukan bilangan 7 kali basuhan, tetapi sebanyak 8 kali basuhan dan riwayat 8 kali basuhan ini adalah riwayat yang sahih.
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « طُهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولاَهُنَّ بِالتُّرَابِ
Seolah-olah menunjukkan bahawa Mazhab Syafi'i dan Mazhab Hanafi sama-sama tidak mengamalkan hadis, sebab menurut mazhab Syafi'i perlu basuh sebanyak 7 kali. Tetapi menurut mazhab Hanafi, memadai basuh 3 kali.
Kemudian, Syeikh Ibnu Hajar berkata bahawa riwayat yang menyebutkan bilangan 7 kali dan 8 kali itu mungkin boleh digabungkan. Jika mengamalkan riwayat yang menyebut 8 kali maka sekaligus mengamalkan riwayat yang menyebut 7 kali, tetapi tidak sebaliknya. Sungguhpun demikian, ada ulama yang menjelaskan bahawa riwayat yang menyebut 8 kali itu bilangan kelapan ialah sebagaimana yang disebutkan oleh teks hadis, "dengan tanah."
Jadi, mereka yang basuh sebanyak 7 kali basuhan kerana pada salah satu basuhan itu telah dicampurkan air dengan tanah (air + tanah = air tanah).
Manakala riwayat yang menyebut sebanyak 8 kali itu sekiranya tidak dicampurkan air dengan tanah (maksudnya mula-mula bekas itu digosok dengan tanah kemudian dibasuh sebanyak 7 kali basuhan dengan air).
Setelah itu, Imam al-Bukhari membawa pula sebuah hadis tentang seorang lelaki melihat seekor anjing yang kehausan, lalu ia mengisi air pada kasutnya dan membawa air itu kepada anjing untuk diminum, Allah pun redha syurga buat lelaki itu.
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِىِّ - صلى الله عليه وسلم - « أَنَّ رَجُلاً رَأَى كَلْبًا يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ الْعَطَشِ ، فَأَخَذَ الرَّجُلُ خُفَّهُ فَجَعَلَ يَغْرِفُ لَهُ بِهِ حَتَّى أَرْوَاهُ ، فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ فَأَدْخَلَهُ الْجَنَّةَ
Menurut Syeikh Ibnu Hajar, hukum hadis tersebut belum tentu dapat diterapkan pada masa umat Muhammad SAW, kerana hal ini melibatkan perbincangan seputar Syar' Man Qablana (Syariat Sebelum Kita). Boleh jadi hukumnya sudah terhapus dengan adanya hadis yang menyebutkan suruhan agar membasuh jilatan anjing. Atau mungkin, lelaki tadi bawa air dengan kasutnya tetapi tidak meminumkan anjing tersebut langsung dengan kasutnya. Atau mungkin setelah meminumkan anjing tersebut, lelaki itu mencuci kasutnya.
Selanjutnya, Imam al-Bukhari telah membawa sebuah hadis untuk menunjukkan kesucian anjing menerusi sebuah hadis yang menunjukkan bahawa pada masa Nabi SAW, anjing-anjing kencing merata-rata dan memasuki kawasan masjid. Namun, mereka tidak pula memerciki air pada tempat yang dilalui oleh anjing tersebut.
حَدَّثَنِى حَمْزَةُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ أَبِيهِ قَالَ كَانَتِ الْكِلاَبُ تَبُولُ وَتُقْبِلُ وَتُدْبِرُ فِى الْمَسْجِدِ فِى زَمَانِ رَسُولِ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - فَلَمْ يَكُونُوا يَرُشُّونَ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ
Menurut al-Mundziri, anjing-anjing itu sebenarnya kencing di luar kawasan masjid, kemudian melalui kawasan masjid, kerana pada saat itu masjid masih terbuka (terdedah atau tidak tertutup).
Syeikh Ibnu Hajar pula berpendapat bahawa anjing-anjing itu melalui kawasan masjid pada saat awal permulaan Islam, ketika itu kemuliaan masjid belum dijaga sebaiknya kerana terdedah. Tetapi setelah itu terdapat riwayat daripada Saidina Umar RA yang menyuruh memuliakan masjid dan menjaga kesucian masjid.
Saya (Lutfi) mengatakan mungkin ada ulama yang menjadikan hadis ini sebagai dalil untuk menunjukkan kesucian anjing jika dalam keadaan kering, tetapi tidak suci jika terdapat basahan daripada anjing tersebut, kerana anjing yang berada di luar kawasan masjid tadi dalam keadaan basah, manakala ketika berada dalam kawasan masjid ia berada dalam keadaan kering. Walaupun dalil yang lebih tepat dalam hal ini adalah dalil tentang jilatan anjing yang telah disebutkan tadi.
Kemudian Imam al-Bukhari membentangkan pula sebuah hadis yang menyebut bahawa binatang yang diburu oleh anjing buruan boleh dimakan. Ini menunjukkan kesucian anjing.
عَنْ عَدِىِّ بْنِ حَاتِمٍ قَالَ سَأَلْتُ النَّبِىَّ - صلى الله عليه وسلم - فَقَالَ « إِذَا أَرْسَلْتَ كَلْبَكَ الْمُعَلَّمَ فَقَتَلَ فَكُلْ ، وَإِذَا أَكَلَ فَلاَ تَأْكُلْ ، فَإِنَّمَا أَمْسَكَهُ عَلَى نَفْسِهِ
Tetapi Syeikh Ibnu Hajar membantah andaian tersebut kerana hadis itu sekadar untuk menunjukkan bahawa buruan anjing adalah buruan secara syar'i. Rasulullah SAW tidak menyuruh supaya membasuh binatang yang diburu oleh anjing buruan kerana sahabat tersebut sudah mengetahui apa yang perlu dilakukan terhadap binatang yang diburu oleh anjing buruan, yakni mesti dibasuh terlebih dahulu pada bahagian yang dijilat oleh anjing sebelum memasak atau memanggangnya.
Kesimpulannya, menurut Syeikh Ibnu Hajar al-Asqalani, fiqh Imam al-Bukhari dalam masalah anjing ialah haiwan tersebut tidak najis. Ironinya, pensyarah kitab Sahih al-Bukhari, yakni beliau sendiri (Syeikh Ibnu Hajar) pula berpendapat bahawa anjing adalah najis dan membawakan pelbagai argumen (hujah).
Wallahu a'lam bis shawab.
Sekian. Wabillahi tawfiq wal hidayah.
Wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Rujukan:
1. Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, karya Syeikh al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani.
2. Al-Sunnah wa Makanatuha fi Tasyri' al-Islami, karya Dr. Mustafa al-Siba'i.