
Kali ini aunty tampilkan Puan Azza Lina, seorang surirumah berusia 44 tahun, yang terlibat dalam menyelamat haiwan jalanan sejak 7 tahun yang lalu. Kini menetap di flet murah Sri Alam, Johor Bharu.
Sebelum ini, beliau bekerja dengan sebuah syarikat yang terletak berdekatan dengan tempat tinggal beliau dan tidak pernah memelihara walau seekor kucing setelah berumahtangga. Setelah syarikat tersebut pindah ke tempat baru, beliau mengambil keputusan untuk berhenti bekerja dan menjadi surirumah sepenuh masa.
Segalanya bermula tanpa dijangka apabila suami beliau dan anaknya yang pulang dari sekolah telah tersermpak dengan seekor kucing jalanan dan membawanya pulang. Saat itu beliau tidak lagi menoleh ke belakang dalam menyelamatkan haiwan jalanan yang bernama kucing.
Pada ketika itu kebanyakkan kucing-kucing yang beliau selamatkan dalam keadaan kritikal dan memerlukan rawatan. Kesemuanya dilakukan dengan kos perbelanjaan sendiri tanpa bantuan sesiapa.
Pada ketika itu kebanyakkan kucing-kucing yang beliau selamatkan dalam keadaan kritikal dan memerlukan rawatan. Kesemuanya dilakukan dengan kos perbelanjaan sendiri tanpa bantuan sesiapa.

Berbekalkan keyakinan dan ketabahan, beliau menyediakan makanan harian mereka dengan membeli stok ikan yang berharga murah di kedai runcit berdekatan yang kerap dikunjunginya. Ikan-ikan tersebut digaul dengan nasi dan jadikan makanan untuk kucing peliharaannya dan kucing jalanan di sekitar tempat beliau tinggal. Sungguh mulia hati Puan Azza Lina tidak pernah berkira dengan makhluk lain seperti kucing. Susah senang ditanggung bersama supaya haiwan jalanan tidak kelaparan.
Dalam pada itu juga, setiap kucing yang rescue akan di postkan di Facebook beliau, iaitu atas nama beliau sendiri, Azza Lina. Di situ bermulanya perkenalan beliau dengan pencinta serta penyelamat haiwan yang lain yang berada di sekitar Johor Baru.
Alhamdulillah perkenalan beliau dengan beberapa rakan seangkatan di antaranya Za Ina, Sherin Ahamzah dan Haz Nida, sedikit sebanyak meringankan masalah beliau. Mereka bekerjasama untuk saling bantu-membantu terutama dalam menyelamat haiwan jalanan. Banyak urusan yang dapat diuruskan dengan mudah serta cepat. Bak kata pepatah “Berat sama dipikul ringan sama dijinjing”.

Rutin harian beliau bermula dengan menjaga kebersihan, kesihatan dan pemakanan anak-anak bulus yang sebanyak 20 ekor. Memandangkan beliau tinggal di flet maka ruang untuk mereka agak terhad. Namun dengan adanya adopsi yang dijalankan maka jumlah mereka adalah seperti sediakala selepas dirawat dan dijaga sementara.

Di penghujung perbualan kami, beliau akui bahawa kehidupan harian beliau bertambah baik dan tenang biar pun hidup penuh dengan kesederhanaan. Bagi beliau menabur bakti pada mereka lebih bermakna dari kepentingan diri beliau.
Doa dan harapan aunty buat Puan Azza Lina semoga kehidupan beliau serta keluarga bersama anak-anak bulus kesayangan sentiasa diberkati dan dirahmati. Hidup ini lebih bermakna seandainya kita mampu membahagiakan insan dan makhluk yang ada di bumi ini.