Sedang berbual-bual dengan lebih kurang 25 orang remaja yang berlatarbelakang pendidikan agama, tiba-tiba kedengaran bunyi anjing bising menyalak. Saya berhenti sebentar bercakap kerana salakan anjing itu terlalu bising, malah disahut oleh anjing-anjing yang lain. Remaja-remaja ini tersenyum melihat gelagat saya yang tiba-tiba berhenti bercakap seakan memberi ruang kepada anjing-anjing itu meluahkan perasaan mereka.
Setelah keadaan mulai reda, saya bertanya kepada remaja-remaja ini, “Apa yang kamu buat jika kamu terserempak dengan anjing?”
“Saya larilah ustadz” jawab seorang remaja lelaki yang berumur 16 tahun. Diikuti gelak ketawa remaja-remaja yang lain. Saya pun tertawa melihat telatah mereka.
“Selain tu, apa awak buat?” tanya saya.
“Kalau saya, saya ‘standby’ batu ustadz. Kalau dia datang dekat, saya baling je batu kat dia…” jawab seorang remaja yang lain, sambil diangguk oleh beberapa remaja lain tanda setuju.
“Besar tak batu tu?” Saya sengaja mengusik.
“Kalau takde yang besar, yang kecil pun jadilah…standby tetap standby!” dengan selamba dia menjawab, membuatkan semua tertawa.
“Lagi? Ada jawapan lain?” saya bertanya lagi.
“Hmmm… alaa… ada bacaan tu, saya tak ingatlah ustadz… ‘summum… summum…’ …alahai tak ingat pulak” seorang remaja muslimah mencuba.
“…صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لا يَرْجِعُونَ…yang ni ke?” saya bertanya.
“Ha’ah…yang tu ustadz. Betul!” Remaja muslimah itu lega kerana cubaannya dapat difahami saya.
Masing-masing menantikan respon saya. Agaknya jawapan si muslimah tadilah jawapan yang tepat dan menepati kehendak saya sebagai penanya soalan.
“Ya, itulah diajar kepada saya dulu semasa saya kecil-kecil. Tetapi nanti dulu, saya nak tanya kalau awak terjumpa kucing ada ke awak semua buat macam tu semua? Habis tu, kenapa anjing awak buat macam tu pula?” saya mengajak mereka berfikir.
Masing-masing terpinga-pinga. Mereka seakan terkejut dengan respon saya. Nampaknya seperti jawapan mereka tidak mengena. Saya lalu menceritakan kepada mereka bahawa anjing juga adalah haiwan ciptaan ALLAH Ta’ala. Kita tidak boleh melakukan kezaliman kepada mana-mana makhluq ALLAH. Kezaliman kita terhadap makhluqNYA akan dipertanggungjawabkan ALLAH pada Hari Akhirat nanti. Lalu, kami berbincang secara ringkas apakah hukum feqh berkenaan anjing. Apabila mereka memberikan jawapan, ternyata mereka sendiri sedar bahawa apa yang dipelajari mereka tidak sama dengan persepsi mereka terhadap anjing. Bersentuhan dengan anjing tidak berdosa. Bersentuhan dengan wanita yang bukan mahram tanpa ikatan pernikahan itu yang berdosa. Sepatutnya perasaan takut itu lebih besar untuk berada berhampiran dengan wanita yang dimaksudkan berbanding rasa takut untuk bersentuhan dengan anjing. Bunyi macam kasar. Tetapi itulah kenyataannya…
Tuan/puan sekalian,
Inilah yang berlaku di dalam masyarakat kita. Saya tidak menyalahkan anda semua, kerana kita telah dididik sebegitu rupa. Sejak kecil saya dan kita semua telah dimomokkan dengan kejahatan makhluq bernama anjing. Saya juga mempunyai sikap yang sama seperti remaja-remaja di atas. Cuma, alhamdulillah, mereka telah lebih awal diperkenalkan dengan sikap yang betul apabila mereka diajak berfikir sebegitu rupa.
Saya sendiri bermula agak lambat. Saya mula sedar setelah melihat beberapa pekerja berasal dari Bangladesh yang tidak kisah dengan anjing, memberi makanan kepadanya dan berlaku baik terhadap anjing di tempat kerja saya. Bangladeshi yang saya kenali ini adalah Muslim. Mereka taat menjaga solat fardhu 5 waktu, soleh dan amanah. Sikap mereka terhadap anjing berbeza sungguh dengan saya dan lain-lain muslim di negara ini… Saya sudah tahu tentang hukum feqhnya, tetapi persepsi buruk terhadap anjing sangat kuat. Masalahnya ialah pada persepsi.
Apatah lagi di dalam nas hadith ada disebut tentang galakan berbuat baik terhadap binatang, dan di dalam hadith tersebut Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam menyebut tentang anjing. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahwa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi waallam telah bersabda:
“Tatkala seorang lelaki sedang berjalan pada sebuah jalan terasalah olehnya dahaga yang sangat. Lalu ia mendapati sebuah sumur dan bersegeralah ia meneruninya untuk minum. Ketika keluar, tiba-tiba dia melihat seekor anjing menjulurkan lidah sambil menjilat-jilati debu karena sangat haus. Lelaki itu berkata: “Anjing ini sedang kehausan seperti aku tadi” lalu turunlah dia kembali ke dalam sumur untuk memenuhi sepatu kulitnya dengan air lalu digigit agar dapat naik kembali. Kemudian ia meminumkan air itu kepada anjing tersebut. ALLAH berterima kasih kepadanya lalu mengampuninya. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah kami akan mendapatkan pahala kerana binatang-binatang seperti ini?” Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Pada setiap yang bernyawa (makhluk hidup) ada pahalanya.” (Shahih Muslim No.4162)
Lihatlah tuan/puan sekalian… Betapa ALLAH telah sediakan kebaikan dan pengampunan dosa sekiranya kita berbuat baik kepada binatang-binatang. Di dalam hadith yang lain, Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu telah meriwayatkan bahawa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
“Bahwa pada suatu hari yang sangat panas seorang wanita pelacur melihat seekor anjing sedang mengelilingi sebuah sumur sambil menjulurkan lidahnya kerana kehausan. Ia kemudian melepas sepatu kulitnya (untuk mengambil air sumur yang akan diminumkan kepada anjing), lalu wanita itu diampuni dosanya. (Shahih Muslim No.4163)
Nah, cukuplah contoh di atas bagi membuka minda kita bahawa jangan berlaku zalim terhadap anjing sebagaimana kita diajar dulu. Anjing sebagaimana makhluq ALLAH yang lain mempunyai hak untuk ia hidup dengan aman di muka bumi ALLAH ini.
Walau bagaimanapun, janganlah pula kita menganggap bahawa anjing ini boleh dibuat peliharaan! Sedikit secara ringkas pandangan ISLAM terhadap anjing ialah:
- Anjing adalah makhluq ALLAH yang wajar mendapat kebaikan dan hidup secara aman di muka bumi ini.
- Berbuat baik kepada haiwan, contohnya anjing, akan diganjari ALLAH dengan kebaikan, diampuni dosa dan ALLAH berterima kasih dengan perbuatan itu.
- Boleh memanfaatkan anjing sebagai haiwan buruan, menjaga ternakan, melindungi harta dan seumpama dengannya.Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Barangsiapa memelihara anjing -kecuali anjing penjaga ternak, anjing pemburu, atau anjing penjaga tanaman- pahalanya akan dikurangi satu qirath setiap hari.” (Muttafaq Alaihi)
- Boleh membunuh anjing gila.Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ada lima jenis binatang yang tidak berdosa jika seseorang membunuhnya iaitu gagak, burung rajawali, tikus, kala jengking dan anjing gila.” (Sahih Bukhari)
- Rumah yang ada anjing atau gambar di dalamnya, Malaikat tidak akan masuk.Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Malaikat tidak akan memasuki rumah yang ada anjing atau ada gambarnya.”(Sahih Muslim No.3929)
- Dilarang memelihara anjing sebagai teman, hiburan atau binatang peliharaan (pet).Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Barangsiapa memelihara anjing -kecuali anjing penjaga ternak, anjing pemburu, atau anjing penjaga tanaman- pahalanya akan dikurangi satu qirath setiap hari.” (Muttafaq Alaihi)
- Jilatan anjing mesti dibasuh dengan 7 kali basuhan dengan dicampuri tanah pada salah satu basuhan itu.Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila anjing minum dari bejana salah seorang di antaramu, cucilah bejana itu tujuh kali.” (Sahih Bukhari).Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sucinya tempat air seseorang diantara kamu jika dijilat anjing ialah dengan dicuci tujuh kali, yang pertamanya dicampur dengan debu tanah.” Dikeluarkan oleh Muslim. Dalam riwayat lain disebutkan:“Hendaklah ia membuang air itu.” Menurut riwayat Tirmidzi:“Yang terakhir atau yang pertama (dicampur dengan debu tanah).”
- Anjing yang lalu-lalang di halaman tidak menajiskan, melainkan sekiranya jelas kelihatan anjing itu membuang najis atau menjilat-jilat. Abdullah (Ibnu Umar) radhiAllahu ‘anhu berkata, “Anjing datang dan pergi (mundar-mandir) di masjid pada zaman Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam dan mereka tidak menyiramkan air padanya.” (Sahih Bukhari)
Sebagai muslim, kita mesti taat dan patuh terhadap ajaran agama ISLAM. ISLAM telah menetapkan beberapa peraturan dan hukum berkenaan anjing. Secara ringkasnya telah saya senaraikan di atas nas-nasnya.
Walau bagaimanapun, janganlah kita berbuat zalim kepada anjing. Hukum feqh terhadap anjing bukanlah bermakna kita mesti berbuat aniaya terhadap anjing. Hukum itu mempunyai hikmah tertentu dan wajib kita sebagai muslim mematuhinya, sebagai tanda iman yang kukuh.
Mudah-mudahan tulisan ringkas ini bisa menjadikan saya dan kita semua agar menjadi hamba ALLAH yang kasih kepada makhluq ALLAH yang lain. Dan semoga selepas ini, tiada lagi ada insan muslim di tempat kita yang berbuat zalim terhadap anjing sebagaimana zaman kita kecil dahulu.
WAllahu A’lam.