Sunday, June 09, 2013

Berkongsi Bumbung Bersama 87 Ekor Kucing Jalanan: Demi Kasih Aifaa

Nor Aifaa  Syazny Norzilan atau lebih dikenali dengan nama Coco Chan di Facebook merupakan seorang independent rescuer atau penyelamat. Gadis remaja yang berusia 23 tahun ini menetap di Air Itam, Pulau Pinang merupakan  seorang rescuer sejak 7 tahun yang lalu. Seorang gadis yang bersemangat kental, tabah dan penyayang terhadap haiwan terutamanya kucing. 

Sehingga kini Aifaa mempunyai sebanyak 87 ekor kucing yang hampir kesemua yang diselamatkan rata-rata merupakan kucing kaki lima. Bermula dengan seekor kucing betina baka parsi yang diberi nama coco dibeli pada harga RM300 dari seorang kawan. 

Selepas 3 bulan kemudian seekor kucing dicari sebagai  teman Coco. Sejak dari itu bermulanya perjalanan beliau sebagai penyelamat haiwan.

Apabila ditanya apa yang mendorongnya  untuk berbuat demikian.  Aifaa menyatakan disebabkan rasa kasihan pada strays yang berada di kaki lima, pasar atau kedai makan langsung mereka Aifaa bawa pulang. 

Sekurang-kurangnya tersedia tempat perlindungan yang bersesuaian dan makan minum. Selain mengelakkan daripada dipukul atau dihalau apabila meminta makan,

Aifaa tidak sanggup melihat penderitaan strays tersebut terutamanya anak-anak kucing yang ditinggalkan di dalam kotak tanpa ibu di sisi. Tidak dapat hendak  dibayangkan apa yang bakal terjadi jika dibiarkan,  pastinya anak kucing tersebut akan mati kesejukan dan kelaparan atau menjadi habuan terutama anjing-anjing liar yang kelaparan. Alhamdulillah setakat ini tidak pernah sekali pun kucing-kucing beliau tidak makan atau kelaparan.

Rutin Aifaa bermula  2 atau 3 jam awal sebelum pergi bertugas dan begitu juga selepas bertugas. Seperti biasa tugas membersih dan menyediakan makanan dan minuman dilakukan sendirian. Diikuti pula dengan merawat kucing-kucing yang sakit.


Betapa mulianya pekerti dan hati budi gadis remaja ini.  Sifat ehsan beliau jelas kelihatan dengan keadaan anak-anak bulusnya yang bersih, cantik, gebu dan sihat. Bertuah sungguh mereka mempunyai pemilik seperti beliau.

Purata kos makanan sebanyak RM900 seminggu dan sebulan sebanyak RM3600 bayangkan dengan gaji yang diterima oleh Aifaa tidak melebihi RM1000.  Untuk pengetahuan  ibu Aifaa mengalami penyakit kanser payudara dan ini menyebabkan beliau terpaksa berhenti bekerja untuk seketika  bagi menjaga ibunya.


Namun begitu Alhamdulillah setakat ini dapat menampung kos tersebut.  Ini disebabkan beliau percaya bahawa setiap kucing atau haiwan mempunyai rezeki masing-masing.  Selain dari itu, beliau juga menerima sumbangan terutamanya dari keluarga, SOS atau Save Our Strays (Penang), teman FB Dilla Isda, Sue Kheron dan juga orangramai.  Dengan bantuan mereka semua inilah kebajikan strays terjaga rapi.

Menurut beliau, banyak kenangan pahit dan manis dialaminya selama  menjadi rescuer.  Pernah beberapa ketika diperdayakan oleh penderma-penderma yang tidak dikenali dan ada juga yang meminta dikembalikan wang derma kepada mereka semula.  Namun ianya tidak pernah mematahkan semangat beliau untuk terus menjadi rescuer.

Di hujung perbualan kami, Aifaa berbisik ke telinga Aunty bahawa beliau sanggup berkorban demi untuk membantu strays yang telah beliau selamatkan. Tidak pernah sekali terfikir untuk berpisah, susah dan senang biarlah bersama.  

Begitu mendalam cinta dan kasihnya terhadap strays yang telah diselamatkan selama ini. 

Aunty doakan semoga adik Aifaa diberikan kekuatan dan ketabahan untuk terus berada di dunia penyelamat haiwan. 

Bukan mudah terutama pada usia semuda ini untuk melaluinya namun berkat keyakinan yang ada pada beliau moga segalanya dipermudahkan. Yang paling utama lakukan keranaNya.