Thursday, May 24, 2012

Hari Ini Aunty Merasa Teramat Sedih, Geram Dan Marah

Salam sejahtera buat semua... 

Hari ini aunty merasa teramat sedih, geram dan marah. Semuanya bercampur-baur akibat tindakan segelintir manusia yang tidak berperikemanusiaan. 

Aunty dan hubby telah didatangi seorang pemotong rumput Bangladesh. Dia kerap memotong rumput halaman rumah kami. Pagi itu dia telah datang pada kami untuk memberitahu akan satu kisah malang yang telah berlaku di taman Aunty. Kejadian ini berlaku hampir sebulan yang lalu, pada waktu petang hujung minggu. 


Ketika itu dia berjalan bersama temannya disebuah kebun pisang, terdapat ramai orang di situ. Dia pun hairan lalu mendekati, alangkah terkejutnya apabila dilihat seekor anjing digantung di sebuah dahan pokok. Di dalam parit yang berdekatan pula ada beberapa ekor anak anjing yang masih kecil...dia pasti mereka masih menyusu. Apa yang dihairankan begitu ramai yang berada disitu tetapi tiada siapa yang menegur sebaliknya menyokong atau mendiamkan diri akan perbuatan kejam itu.


Pemotong rumput itu ingin membantu anjing tersebut tetapi dinasihati oleh teman senegara supaya tidak kerana ditakuti akan dipukul oleh mereka yang ramai. Lalu dia pun bergegas ke rumah aunty untuk meminta bantuan tetapi amat malang sekali didapati kami tiada dirumah. Kebetulan pada hari tersebut kami telah pulang ke kampung atas urusan keluarga. Hatinya resah, sedih dan pilu kerana tidak dapat membantu. 

Aunty tidak dapat bayangkan betapa kejamnya segelintir jiran yang kami kenal adalah manusia yang baik dan peramah pada zahirnya dengan kami tetapi pada hakikatnya kejam lagi zalim. 

Disambung cerita mereka biarkan ibu anjing itu seharian tergantung sehingga mati....betapa remuknya hati aunty apabila mendapat tahu bahawa anaknya juga dibiarkan mati kelaparan. Hati ini terdetik bertanya dimanakah kemanusiaan mereka...takkan hanya kerana ibunya telah merosakkan tanaman pisang atau memakan ayam ternakan maka hukumannya digantung??? 

Siapakah kita untuk berbuat sedemikian ??!!! 


Dimanakah hak mereka sebagai makhluk Allah untuk hidup di muka bumi ini??? Dimanakah iman kita pada ketika itu???? Dimana?!!! Begitulah akhir kehidupan seekor anjing betina yang beranak lima...kesemuanya dibiarkan mati hanya kerana mereka yang bernafsukan syaitan....amat malang sekali tiada apa yang dapat kami lakukan pada ketika itu dan sekarang semuanya dibiarkan berlalu begitu sahaja. Jika begini sikap segelintir manusia bagaimanakah ingin mendapatkan rahmatNya sedangkan ehsan tiada langsung sesama makhluk.

Renungkanlah Wahai Umat Muhammad:

Sewaktu perjalanan Rasulullah dari Madinah ke Mekah pada tahun kemenangan (Ya'um al fath) atas kota Mekah. Nabi melihat seekor ibu anjing berbaring disisi jalan dengan anaknya yang baru lahir. Anjing itu sedang menyusukan anak-anaknya. Beliau khuatir pasukan Islam yang ramai itu akan mengganggu keasyikkan anak anjing itu menyusu atau mungkin akan mencederakannya. Maka Rasullulah telah menyuruh seorang sahabat yang bernama Ju'ayl untuk menjaga anjing itu sehingga habis pasukan Islam melewati anjing itu.