Kali ini aunty sempat singgah sebentar di pantai timur untuk menemui seorang remaja yang berusia 19 tahun yang begitu giat menyelamat haiwan jalanan. Seorang remaja dari negeri Kelantan Darul Naim, kini sedang melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Putera di Kota Bharu, sebagai seorang pelajar pra-universiti. Gadis yang dimaksudkan ialah Nur Shahirah Zulkepli atau lebih mesra dengan panggilan Irah.
Gadis ini mewarisi sifat penyayang dari ayahnya yang merupakan penggemar kucing ketika di usia kecil lagi dan telah menyelamatkan beberapa kucing jalanan sejak itu. Tetapi ada di antaranya yang tidak bertahan lama ataupun hilang semasa berada dalam penjagaan.
Bermula ketika di tingkatan 5, Nur Shahirah aktif sepenuhnya untuk rescue atau menyelamat kucing jalanan di sekitar kawasan rumahnya. Minatnya semakin bercambah apabila suatu ketika, menemui artikel mengenai kucing dalam facebook Kakimotong Fan Club yang dikendalikan oleh Mohd Hairey Yahya atau lebih dikenali sebagai Papa Hero. Setiap hari Shahirah melayari page dan blog Kakimotong yang dikendalikan oleh bloger suami isteri ini yang banyak menyediakan informasi serta pelbagai tips mengenai rawatan, penjagaan dan pemakanan kucing. Setiap info yang diperolehinya akan dicatat buat panduan pada masa akan datang.
Selain itu juga, beliau begitu mengagumi rakan-rakan facebook seperti Muhamad Razeef Che Samah, Jsue Hikmah II, Azman Ahmad, Dr. Marlia Duffy Zulkapli, Dr. Azlan Shah serta lain-lain yang turut terlibat dengan menyelamat haiwan secara tidak langsung. Sikap mereka yang penyayang, ehsan serta menjaga kebajikan strays amat dikagumi remaja ini dan dijadikan sebagai Idola yang mendorongnya untuk membantu haiwan kesayangan Rasulullah.
Sebelum pergi ke sekolah, Shahirah akan memastikan kebersihan dan pemakanan anak-anak bulus kesayangan tersedia. Manakala pada sebelah malam pula adik Shahirah akan memastikan strays di persekitaran rumah diberi makan dan minum. Setelah semuanya selesai, beliau akan meluangkan masa untuk bermesra dengan kucing-kucing peliharaannya.
Setiap Sabtu, Shahirah akan berjalan kaki ke Pasar Siti Khadijah di bandar Kota Bharu sejauh 4 Kilometer dari rumahnya semata-mata untuk memberi makan kepada strays yang menunggunya di sana. Memandangkan terdapat banyak strays dan semakin bertambah bilangannya yang berkeliaran pada setiap hari, Kebetulan tidak ramai rescuers atau feeder di sana, Nur Shahirah mengambil inisiatif untuk merawat mana-mana strays yang luka atau sebagainya.
Shahirah mula mengumpul wang saku perbelanjaan sekolah yang diberi keluarga. Wang saku RM2 yang diberi dibelanjakan hanya RM1 manakala yang bakinya disimpan.
Dengan wang itu, Shahirah dapat membeli makanan kucing berbentuk kibbles untuk dibawa ketika pergi dan pulang ke sekolah. Ada ketika wang tidak mencukupi untuk membeli kibbles, kucing-kucing ini diberi makan sekadar biskut tawar. Kelihatan bergenang airmata gadis ini hingga membasahi pipinya kerana tidak mampu untuk menyediakan makanan buat strays. Menurut Shahirah lebih mengharukan apabila biskut itu dimakan oleh kucing-kucing tersebut.
Amat mengharukan dan menyentuh perasaannya kerana strays itu seolah-olah memahami kesukaran yang dihadapi oleh Shahirah. Ada ketikanya Shahirah dibantu oleh Mama Tim iaitu rakan Facebooknya.
Tidak dapat dibayangkan bagaimana kucing jalanan tersebut melalui hari-hari mereka dengan berkeliaran tanpa makanan teratur dan tempat perlindungan sesuai. Keadaan ini amat menikam kalbunya. Jika terdapat strays yang luka, Shahirah akan merawat dengan hanya menggunakan minyak gamat.
Betapa murninya hati gadis ini. walaupun tidak berkemampuan untuk membawa kucing-kucing jalanan tersebut ke klinik Vet untuk mendapatkan rawatan namun ia tetap dibantu mengikut kemampuan.
Nur Shahirah biasanya akan meluangkan masa di Pasar tersebut, sekitar 3 jam untuk mencari dan memberi makan serta merawat strays yang terdapat di situ. Kadangkala terlihat oleh beliau, strays disepak, diterajang dan dipukul hanya kerana meminta makan dari kedai-kedai makanan yang ada di sekitar pasar tersebut.
Gadis ini pernah menyelamatkan kucing yang dijangkiti sporo bernama Omiey. Kucing tersebut dirawat menggunakan ubat gamat sahaja. Namun jiran tetangga banyak memberi pandangan dan sindiran sinis, dipujuknya hati dan bertekad untuk menjaga Omiey sebaik mungkin.
Umur Omiey tidak panjang, ia hanya bertahan sehingga 6 bulan sahaja menyebabkan Shahirah merasa agak terkilan kerana beliau tidak dapat membawanya untuk mendapatkan rawatan vet. Namun takdir telah ditentukan buat Omiey.
"Irah juga nak sama macam Papa Hero , tubuhkan satu badan NGO untuk menjaga kebajikan kucing terbiar di Kelantan, Insya Allah dan Irah harapkan sokongan dari rakyat Kelantan" Kata gadis ini sambil melahirkan harapan agar masyarakat dapat merubah sikap dan persepsi mereka terhadap haiwan jalanan. Besar hasrat gadis ini semoga suatu hari nanti tercapai impian untuk menyediakan pusat perlindungan haiwan mengakhiri temubual.
Doa dan harapan aunty, agar masyarakat Malaysia lebih terbuka dengan strays atau haiwan jalanan. Bukan haiwan ini minta untuk menjalani kehidupan sedemikian tetapi angkara segelintir manusia yang tidak berperikemanusiaan yang melontar jauh rasa ehsan daripada hati mereka.
Semoga Nurshahirah Zulkifli tabah dan cekal. Mudah-mudahan impian gadis ini tercapai akhirnya insya Allah.