Aunty telah memulakan aktiviti memberi makan anjing jalanan sejak 7 tahun yang lalu sehinggalah ia tersebar diinternet dan menjadi viral. Keadaan mereka ketika itu kurus dan kelaparan. Aunty lakukan setelah anjing-anjing ini masuk ke kawasan perumahan mencari sisa makanan dengan menyelongkar tong-tong sampah. Keadaan ini menimbulkan rasa kurang selesa dan kacau ganggu kepada sebahagian penghuni taman perumahan.
Sebelum melakukannya Aunty terlebih dahulu rujuk kepada suami Aunty yang kebetulan adalah lepasan jurusan Syariah dari Universiti Malaya. Beliaulah yang banyak memberi bimbingan serta tunjukajar mengenai kaedah yang boleh digunapakai, memandangkan stray ini agak sukar untuk didisiplinkan ketika diberi makan kerana sifatnya yang agak setia dan manja.
Aktiviti yang aunty lakukan ini telah memberikan gambaran betapa Islam itu begitu indah, sehinggalah 2 orang rakan facebook aunty telah melafazkan kalimah syahadah dan menerima Islam sebagai anutan. Saudara baru ini berada di bawah bimbingan suami Aunty.
Islam bukanlah agama yang sempit dan mengongkong. Allah Subhanahu Wataala mengutuskan para Nabi dan RasulNya untuk membawa dan mengajarkan kepada umat manusia agamaNya yang haq.
Agama Islam yang Aunty anuti hari ini merupakan satu cebisan rahmat dari Allah melalui Nabi Muhammad saw untuk semua makhluk. Allah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud: Dan tidaklah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam. Al Anbiya' : 107
Sebab itulah Aunty lihat di dalam masalah yang berkait dengan Fiqh, kita mempunyai banyak cabang mazhab untuk dijadikan panduan dan ikutan. Empat mazhab utama yang menjadi ikutan umat Islam seluruh dunia hari ini ialah mazhab Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Syafie dan Imam Hanbali. Itu dari sudut Feqah.
Inilah yang dimaksudkan ketika Rasulullah saw bersabda dalam hadithnya: [Perselisihan ataupun khilaf dikalangan umatku, merupakan satu rahmat]
Perbezaan pandangan serta pendapat para ulama’ Fiqh inilah yang menjadikan Islam itu istimewa, terbuka, tidak sempit dan mengongkong.
Islam memberi kelonggaran untuk memilih mana-mana di antara satu mazhab tadi sebagai ikutan kerana walaupun pada zahirnya ia berbeza namun keempat-empat mazhab tadi diasaskan dengan ijtihad para Imam yang memberi hujah dan alasan tersendiri berlandaskan Al Quran, Hadith, Ijma’ dan Qias.
Penting untuk kita mengetahui sekurang-kurangnya secara ringkas hukum tentang anjing ini, bagi membolehkan kita merasai nikmat keluasan fiqh di dalam Islam. Ianya juga penting untuk mengubah sikap dan persepsi kita selama ini terhadap anjing. Islam menyuruh kita menyalurkan hubungan yang baik terhadap semua makhluk termasuklah haiwan. Fobia dan imej anjing pada masyarakat Melayu sebenarnya tiada kaitan dengan agama, tetapi lebih kerana faktor persekitaran dan budaya kebanyakkan masyarakat kita sahaja.
Ini juga penting bagi memulihkan imej umat Islam di mata non-Muslim. Tahun 2008 misalnya, timbul isu yang menyatakan Islam adalah agama yang anti anjing apabila kerajaan UK memperluaskan penggunaan anjing untuk tujuan sekuriti, dan cadangan ini mendapat bantahan membuta tuli daripada sebahagian komuniti Muslim di sana. Bantahan ini sebenarnya tiada kaitan dengan Islam, tetapi sebaliknya dipengaruhi oleh faktor budaya hidup mereka sahaja.
Walaupun ada perbezaan pandangan ulama' mengenai kadar kenajisan anjing, akan tetapi jumhur berpandangan yang haram bagi Muslim adalah memeliharanya di dalam rumah