Sabah negeri di bawah bayu, sebuah negeri yang penuh dengan keindahan alam semulajadi dengan taman-taman lautnya yang menarik serta pulau-pulaunya yang cantik untuk dikunjungi. Pasti ramai yang akan jatuh cinta dengan negeri ini serta penduduknya yang ramah mesra.
Kali ini aunty berkesempatan untuk memperkenalkan salah seorang di antara Independent Animal Rescuer yang cukup aktif di sana. Gee Mohd, anak tempatan yang tinggal di Penampang Jalan Lama, Kota Kinabalu berusia 36 tahun, sudah berumahtangga dan kelihatan ceria, bahagia bersama suami dan 3 orang cahayamata.
Sifat penyayang terhadap haiwan telah dipupuk oleh keluarganya yang merupakan pencinta haiwan sejak zaman kanak-kanak lagi. Gee ketika itu sudah mempunyai 25 ekor kucing termasuk seekor ibu kucing yang sedang bunting. Kesemuanya dipelihara bersama dengan keluarganya di kampung .
Menurutnya biar pun rumah tersebut kecil namun anak-anak bulus yang merupakan kucing-kucing yang diselamatkan dari jalanan, kaki lima dan sebagainya dilimpahi dengan kasih-sayang sama seperti ahli keluarga.
Pernah satu ketika, Gee menyelamatkan seekor anak kucing yang terjatuh di dalam parit. Gelagatnya hanya diperhatikan oleh orangramai yang lalu dengan renungan yang tajam tanpa menghulurkan sebarang bantuan. Seolah-olah wanita ini sedang melakukan satu jenayah besar, alhamdulillah kucing tersebut dapat selamatkan. Baginya apa yang dilakukan hanyalah untuk membantu haiwan yang memerlukan tanpa perlu melayan pandangan atau persepsi orang lain. Begitulah sifat cekal dan tegas yang perlu ada pada diri mereka yang ingin bergelar sebagai seorang pencinta dan penyelamat haiwan.
Sehingga kini Gee amat aktif menyelamatkan haiwan jalanan dengan restu dan sokongan suaminya yang juga merupakan pencinta haiwan. Banyak yang telah Gee selamatkan dan foster. Tetapi Gee kini hanya menyelamat haiwan jalanan sahaja dan tidak foster, berikutan aduan serta komplen dari jiran-jiran terdekat yang tidak menyenangi kerja-kerja amal yang dilakukannya.
Kini Gee menyimpan strays yang diselamatkan dalam tempoh sehari atau tidak melebihi dua hari sebelum diserahkan kepada adopter. Gee tidak mahu menjaga lebih lama kerana dikhuatiri akan jatuh cinta dan tidak rela berpisah dengan kucing-kucing tersebut.
Rutin hariannya bermula selepas menghantar anak-anak ke sekolah dan biasanya Gee akan meluangkan masa untuk meronda selama sejam di kawasan sekitar taman perumahan untuk memberi makan dan minum pada strays yang ditemui. Jika kehabisan stok kibbles, Gee akan memberi roti atau keropok. Alhamdullillah tanpa mengira makanan yang diberi, strays tersebut tetap makan demi mengisi perut mereka.
Terkini Gee Mohd bekerja dengan SPCA Kota Kinabalu untuk membantu haiwan jalanan terutamanya kucing. Di samping itu, wanita ini juga telah diberi kesempatan untuk menjadi salah satu rescuer di sana dan sudah pasti peluang ini diambil olehnya apabila ada kelapangan.
Di akhir perbualan, wanita yang manis dengan senyuman ini, menyatakan harapan dan cita-citanya, “Sa berharap sangat-sangat banyak lagi individu di luar sana dapat menolong stray ini, cita-cita sa ialah ingin mempunyai sanctuary stray, sebab mereka pun layak untuk hidup dengan aman, sihat, penuh kasih sayang dan of course kenyang .” , Terpancar keikhlasan di raut wajah Gee ketika meluahkan hasratnya dan ini mengakhiri temubual kami.