Selang beberapa minggu sekembalinya kami dari menziarahi Hani sekeluarga di Nibong Tebal Pulau Pinang pada 16 September lalu, ekoran didatangi oleh Pegawai Jabatan Agama, Aunty pula telah dikejutkan dengan satu konspirasi beberapa jiran di sini.
Gambar yang mengundang beberapa insiden |
Menurut khabar yang disampaikan, mereka telah menghubungi dan melaporkan kepada Majlis Daerah bahawa kami memelihara dua ekor anjing sejak beberapa bulan yang lalu tanpa lesen dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan selaras dengan undang-undang Malaysia. Namun mereka telah menerima tamparan apabila semakan rekod mendapati bahawa pemilik mempunyai lesen yang sah.
Apabila aduannya tidak dapat dilayan seperti yang dikehendaki, mereka mula beralih kepada strategi yang lain dengan menghasut dan mempengaruhi jiran yang lain di sekitar Taman Perumahan supaya memulaukan kami. Usaha ini nampaknya seperti mendatangkan sedikit hasil setelah beberapa jiran sudah mula terpengaruh serta termakan hasutan telah tidak lagi mengundang kami ke majlis mereka seperti kebiasaan. Anak mereka yang sebelum ini amat menghormati kami mula membaling batu kepada Bobby dan Baby biarpun anjing itu berada dalam kawasan halaman rumah Aunty.... tanpa pengetahuan kami, sehinggakan satu ketika memaksa Aunty keluar memanggil dan menasihati mereka sambil memberi amaran.. supaya jangan mengulangi perbuatan itu lagi.
Bobby & Baby |
Bagi meredakan keadaan Aunty telah menutup kelas tusyen serta kelas Al-quran yang telah Aunty mulakan sejak 10 tahun yang lalu mulai hari ini biarpun dengan rasa berat hati. Terasa sedih juga dengan tindakan mereka ini kerana majoriti anak jiran di sini pernah mendapat bimbingan dari Aunty. Lebih menyedihkan anak-anak mereka ini berpaling ke arah lain setiapkali bila bertentang mata dengan Aunty tanpa menegur sapa seperti kebiasaan bagaikan kami ini begitu najis di sisi mereka.
Biar apa sekalipun tindakan dan perilaku mereka terhadap kami, Aunty dan Uncle tetap akan meneruskan usaha untuk membantu haiwan jalanan tanpa mengira pandangan masyarakat. Ketika ini kami telah membina tembok penghadang di sekeliling pagar rumah bagi menghalang pandangan mata mereka dari melihat aktiviti Bobby dan Baby.
Biar apa sekalipun tindakan dan perilaku mereka terhadap kami, Aunty dan Uncle tetap akan meneruskan usaha untuk membantu haiwan jalanan tanpa mengira pandangan masyarakat. Ketika ini kami telah membina tembok penghadang di sekeliling pagar rumah bagi menghalang pandangan mata mereka dari melihat aktiviti Bobby dan Baby.
Ekoran dari tindakan mereka ini kami beranggapan dan merasakan bahawa bukan mudah untuk mengubah serta mengalih persepsi masyarakat di sini terhadap anjing yang telah berakar umbi dalam diri mereka. Usaha mesti diteruskan biarpun hasilnya bukan sekarang.