Pada lebih kurang jam 0900 pagi Aunty dan Uncle memandu ke arah MK Land Bukit Beruntung. Lebih kurang 300 meter selepasi lampu isyarat Tol Exit Bukit Beruntung tiba-tiba kami terlihat susuk seekor anjing jalanan berwarna hitam terbaring di tepi jalan.
Kami memberhentikan kenderaan untuk memastikan samada anjing itu masih hidup atau sebaliknya. Rupanya ia masih lagi bernafas namun keadaannya agak lemah dan kejang kerana mengalami pendarahan yang banyak. Kami mengambil keputusan untuk membantu anjing tersebut dengan membawanya ke Klinik yang kebetulan tidak jauh dari situ.
Semasa kami memasukkan Blacky dalam kereta, banyak kenderaan yang berhenti menyebabkan trafik sesak seketika, kebanyakkannya memandang kami dengan penuh rasa kehairanan dan cemuhan. Meski pun sebelum itu ada sedikit salah faham dari rakan penunggang yang terlibat kemalangan menyangka kami hendak mengambil helmet yang tertinggal di situ. Kami bertanyakan kenapa dengan anjing ini...? Dia menjelaskan anjing ini telah dilanggar oleh kawannya pada pagi tadi lebih kurang jam 0730 pagi dan telah dibawa ke hospital. Rupanya sudah 2 jam anjing ini terbiar dan terlantar kesakitan dalam hujan dengan dikerumuni kerengga..memandangkan pada masa itu jam sudah pukul 0930 pagi. Pada mulanya kami menyangkakan anjing itu kemungkinan ditembak atau dicederakan dengan sesuatu yang tajam berdasarkan terdapat dua luka yang agak dalam sehinggalah kami diberitahu. Di situ kami menasihatinya agar menghargai nyawa, tidak kiralah apa status makhluk itu asalkan tidak mengancam nyawa kita.. jangan biarkan mereka menghadapi kematian tanpa bantuan rawatan... setidaknya berikan dia air untuk minum... Kami memberitahunya berapa sangat nilainya helmet tersebut berbanding dengan nyawa. Dia lantas terdiam dan memohon maaf daripada kami.. Dalam hati uncle berkata: Aku tak nampak pun helmet tu... kalau nak ambil pun buat apa itu barang orang..
Sebaik saja sampai ke klinik Vet, Blacky terus diperiksa dan menurut Doktor yang merawatnya, Blacky mengalami kekurangan darah akibat kemalangan tersebut. Setelah pemeriksaan detail dilakukan barulah diketahui bahawa pundi kencingnya pecah dan mengalami patah tulang belakang di samping terdapat pendarahan dalaman. Rawatan kecemasan dilakukan dan Vet memberitahu perlu menunggu sehingga 6 jam untuk melihat respon dari rawatan yang diterima. Blacky warded di klinik tersebut.
Pada jam 1700 petang kami pergi ke Klinik tersebut dengan doa dan harapan Blacky akan stabil. Apabila kami sampai keadaan ia masih agak lemah sama seperti keadaannya pada pagi tadi. Kami memanggilnya Blacky...Blacky....Blacky beberapa kali dan tiba-tiba dia mengangkat kepalanya dalam keadaan agak sukar. Melihat keadaannya Aunty menjadi bersemangat dan cuba memberikannya air dan sedikit makanan. Blacky memberikan respon yang baik dan meminum air tersebut sehingga habis. Sedangkan sebelum ini menurut pembantu Vet.. ia tak mahu makan atau minum. Menitis airmata Aunty ketika itu melihatkan semangatnya berjuang untuk terus hidup biarpun mengalami kecederaan yang teruk.
Menurut Doktor sekiranya Blacky hidup kemungkinan besar ia akan menjadi lumpuh. Aunty katakan akan membawanya balik serta menjaganya. Menurut Doktor lagi kos rawatannya agak mahal dan boleh mencecah ribuan ringgit. Aunty katakan tak mengapa kosnya kami tanggung. Namun begitu pada sebelah malamnya Aunty menghubungi Papa Hero untuk mendapatkan pandangannya. Beliau menyatakan kesediaan untuk melancarkan tabung rawatan Blacky. Aunty bersetuju.. namun begitu perlu menunggu sehingga esok untuk melihat kondisi anjing tersebut apakah ia dapat bertahan.
Esoknya lebih kurang jam 0900 pagi Aunty diberitahu bahawa Blacky telah pergi buat selama-lamanya meninggalkan kita. Betapa sedihnya Aunty bila menerima berita tersebut. Patutlah sebelum kami meninggalkannya untuk pulang..ke rumah, ia merenung kami agak lama bagaikan memberitahu bahawa ia akan pergi. Sebelum meninggalkannya Aunty sempat berpesan kepadanya esok kita jumpa lagi. Blacky...seekor stray yang sempat merasai kasih sayangku biarpun seketika.