Friday, May 10, 2013

Penderaan Terhadap Haiwan


Kebelakangan ini kes penderaan haiwan semakin meningkat dan ia berlaku di saat negara sedang menuju ke arah negara maju.  Ini cukup menyedihkan kerana ia seperti petanda bahawa semakin majunya negara semakin menurun sifat kemanusiaan masyarakat terhadap makhluk yang berada di bumi ini.  Kekejaman yang berlaku terhadap haiwan bagaikan tidak terbela apabila undang-undang yang ada masih belum mampu untuk mendidik masyarakat menjadi insan yang berehsan walaupun tidak mewakili masyarakat majoriti.

Pelbagai bentuk penderaan ke atas haiwan yang melibatkan kecederaan kepada mata, hidung, badan, kaki dan sebagainya.  Kecederaan seperti ini boleh menyebabkan buta, tempang atau patah akibat dipukul, badan yang disirami air panas ataupun asid.  Ini adalah contoh penderaan yang jelas. Apabila berlaku perkara sedemikian, mereka perlu mendapatkan rawatan segera dan kesembuhan bergantung pada tahap kecederaan yang dialami. 
Mengikut pengalaman aunty bukan mudah untuk membawa haiwan yang cedera akibat didera apatah lagi kecederaan yang parah.  

Aunty pernah mendapatkan rawatan untuk seekor kucing yang cedera pada kaki kanan, malah kaki kirinya kudung telah di tinggalkan oleh tuannya setelah mendirikan rumahtangga. Tidak diketahui samada kucing tersebut tercedera akibat didera atau mengalami kemalangan. Kecederaan pada kaki kanannya agak teruk memaksa kakinya dipotong. Amat menyedihkan melihat keadaan kucing tersebut namun semangatnya yang kental untuk hidup dia sembuh dalam jangka waktu sebulan lebih walaupun kedua-dua kakinya kudung. 

Satu lagi contoh yang dapat aunty berikan ialah seekor anjing jalanan yang aunty temui cedera parah di bahagian badannya.  Badannya seperti ditusuk dengan alat tajam dan disirami samada dengan air panas ataupun asid.  Kecederaannya amat parah sehingga lapisan isi yang terakhir sahaja yang tinggal kerana telah terkena jangkitan kuman dan di penuhi ulat.  Apabila dibawa rawatan,  disarankan untuk dilupuskan namun aunty yakin dengan izinNya dia akan sembuh dan berpeluang untuk hidup walaupun tidak seperti dahulu.  Alhamdulillah kini anjing tersebut berada di dalam jagaan aunty dan semakin sihat.

Kucing atau anjing yang dibiarkan seharian dalam kurungan tanpa menyediakan bekalan makanan dan minuman yang mencukupi ataupun dirantai seharian tanpa mendapat kebebasan yang sepatutnya menjadi antara penyebab  haiwan tersebut menjadi pendiam, tidak aktif dan mengalami stress.  Tanpa disedari sedikit sebanyak haiwan tersebut boleh menjadi ganas sehingga tidak dapat dikawal pergerakan mereka.  Seeekor anjing yang tidak mendapat perhatian dan kasih-sayang yang sepatutnya dari pemilik kemungkinan ia akan bertukar menjadi agresif dan tidak mendengar arahan dan kadangkala boleh menyerang pemilik tanpa disedari.  

Haiwan juga memiliki perasaan sama seperti manusia.  Ingatan yang ada pada mereka akan membuat mereka bertukar menjadi ganas.  Akhirnya jika tidak terkawal boleh menyebabkan kecederaan dan kematian pada manusia.  Jika tiada pilihan maka haiwan tersebut terpaksa dilupuskan (PTS) sedangkan jika ditangani dari awal perkara sedemikian dapat dielak. 

Apa yang dapat dijelaskan, penderaan terhadap haiwan perlu dihentikan dengan segera.  Setiap pendera sewajarnya mendapat hukuman yang setimpal dengan penderaan yang telah dilakukan.  Perlunya kesedaran dari masyarakat untuk menghalang penderaan dari berlaku jika terdapat kes sedemikian.  Janganlah kita hanya menutup sebelah mata seolah-olah tiada berlaku hanya kerana ia seekor haiwan.  Mereka juga berhak mendapatkan pembelaan dari kita manusia yang dikurniakan akal dan fikiran. 

Mulianya masyarakat itu kerana keperibadian yang penuh dengan sifat ehsan, kasih-sayang dan keperihatinan. Majunya sesebuah negara dilihat dari sejauh mana kemajuan minda dan peribadinya.  Semoga kita mampu menjadi masyarakat yang bertamaddun dan berakhlak tinggi selain dari berilmu.