Saturday, December 22, 2012

Persepsi Terhadap Anjing


Masyarakat Melayu Islam umumnya amat menyayangi haiwan terutamanya kucing.  Seperti yang diketahui kucing merupakan binatang kesayangan nabi Muhamammad saw. Jadi tidak hairanlah jika ramai yang sudi menghulurkan bantuan untuk membantu atau menyelamat kucing-kucing terbiar dan jalanan selain dari mempunyai haiwan peliharaan. Namun bila disebut anjing, maka ramai diantara kita agak keberatan untuk membantu sebaliknya kita akan memberikan jawapan yang kebanyakannya berunsur negatif seperti haram disentuh, takut dikejar, lebih baik beri kucing makan, bantu orang susah lebih baik dan sebagainya. Ada juga kedengaran ‘baling batu atau apa jua yang kelihatan kalau didatangi anjing’. Bila dilihat dari jawapan yang diberikan maka didapati ramai diantara kita yang masih kurang memahami akan hukum sebenar mengenai anjing. Walaupun anjing dan babi termasuk dalam najis mughallazah namun ehsan tetap perlu ada pada haiwan-haiwan ini.  Haramnya adalah pada pemakanan bukan pada sentuhan. Oleh kerana itu maka perlunya kita mengetahui hukum-hukum dan perkara yang berkaitan dan pandangan Islam terhadap haiwan-haiwan ini.

Islam adalah agama yang bukan sahaja menjaga hak-hak manusia tetapi juga hak-hak haiwan. Haiwan yang dimaksudkan ialah`bersifat universal’ atau merangkumi seluruh haiwan yang ada di muka bumi ini. Diriwayatkan pada satu ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melintasi seekor unta yang kelihatan kempis perutnya kerana kelaparan. Lalu baginda bersabda:

Bertaqwalah kepada Allah terhadap haiwan-haiwan yang bisu ini. Tunggangilah ia dengan baik dan berilah ia makan dengan baik.

Perintah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk …bertaqwa kepada Allah terhadap haiwan-haiwan …”  menjadi dalil bahawa kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Subhanahu wa Ta‘ala pada hari Akhirat nanti mengenai sikap dan layanan kita terhadap haiwan. Jika kita menjaga mereka dengan baik dengan memberi mereka makanan, minuman dan tempat berteduh, kita akan memperolehi ganjaran daripada Allah. Sebaliknya jika kita menzalimi mereka, maka kita akan berdepan dengan azab daripada Allah. Hadis berikut perlu menjadi sumber iktibar bagi kita:

Ketika seekor anjing berpusing mengelilingi sebuah perigi dan hampir mati kerana dahaga, seorang pelacur daripada suku Bani Israil melihatnya. Lalu dia menanggalkan kasutnya dan memberi anjing tersebut minum dengannya. Maka Allah mengampunkan dia kerana perbuatannya itu.

Seorang wanita memasuki neraka disebabkan seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makan mahupun membebaskannya untuk makan serangga di tanah.

Hadis-hadis ini menjelaskan bahawa perlakuan dan sikap kita terhadap haiwan memiliki kedudukan yang penting di sisi agama sehingga melibatkan antara syurga dan neraka. Jangan dihadkan belai kasih kepada haiwan peliharaan sahaja tetapi hendaklah diluaskan kepada haiwan-haiwan yang lain. Janganlah makanan hanya disediakan untuk kucing yang kita pelihara sahaja. Sediakan juga makanan kepada kucing-kucing yang lain dan juga anjing-anjing terbiar atau jalanan yang kelihatan. Sediakan makanan dan minuman buat mereka setakat yang kita mampu.  Selain dari itu, haiwan seperti burung dan lain-lain juga dapat menumpang untuk makan bersama. Begitulah sifat yang sepatutnya ada pada setiap muslim terutamanya.

Selain itu, tanggapan ini terjadi adalah juga disebabkan oleh didikan yang diterima sejak kecil dari keluarga dan masyarakat.  Kebanyakan dari kita telah dimaklumkan bahawa anjing atau babi itu haram, tidak boleh disentuh, jahat dan merbahaya serta banyak lagi anggapan.  Sikap ini telah disemai dari generasi ke generasi dan akhirnya terdapat majoriti dari masyarakat kita yang membenci anjing dan babi tanpa sebab yang munasabah. Walhal dalam agama telah dijelaskan haiwan-haiwan ini juga adalah makhluk Allah yang berhak mendapat kebaikan di muka bumi Allah ini. Harus diingat bahawa dalam Islam  anjing boleh dimanafaatkan sebagai anjing buruan, menjaga ternakan, kebun, rumah dan harta. Hanya dilarang untuk dijadikan sebagai haiwan peliharaan kerana rumah yang ada anjing di dalamnya, Malaikat tidak akan masuk. Islam menegah memelihara anjing sebagai teman, hiburan atau binatang peliharaan (pet).
  
Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Malaikat tidak akan memasuki rumah yang ada anjing atau ada gambarnya.”(Sahih Muslim No.3929)

Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wa sallam bersabda:  “Barangsiapa memelihara anjing -kecuali anjing penjaga ternak, anjing pemburu, atau anjing penjaga tanaman- pahalanya akan dikurangi satu qirath setiap hari.”  (Muttafaq Alaihi)

Berdasarkan hadis tersebut, sebahagian ulamak fekah berpendapat bahawa larangan memelihara anjing itu hanya makruh, bukan haram, sebab kalau sesuatu yang haram, sama sekali tidak boleh dilakukan sama ada pahalanya itu berkurang atau tidak.

Terdapat juga hadis-hadis lain tentang keharusan memelihara anjing antaranya ialah:

"Daripada Abu Tha'labah al-Khasyni berkata; Aku pernah bertanya: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berada di kawasan berburu, aku berburu dengan anak panahku dan dengan menggunakan anjingku yang terlatih (yang diajar) serta anjingku yang belum terlatih, manakah yang dibolehkan untukku ?" Rasulullah saw menjawab: "apa yang telah engkau buru dengan anak panahmu dan engkau sebut nama Allah sebelumnya, makanlah. Dan yang telah engkau buru dengan anjingmu yang tidak terlatih, lalu kamu sempat menyembelihnya, maka makanlah". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Perlu diingat memelihara anjing hanya dibenarkan apabila wujud keperluan untuk menjaga maslahah manusia.  Selain dari itu, ia adalah haram dan dilarang sama sekali.

Dari segi hukum penyucian, terdapat beberapa pendapat mengikut keempat-empat mazhab.

Seperti yang terdapat dalam hadis berikut. Jilatan anjing mesti dibasuh dengan 7 kali basuhan dengan dicampuri tanah pada salah satu basuhan itu.

Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Apabila anjing minum dari bejana salah seorang di antaramu, cucilah bejana itu tujuh kali.”  (Sahih Bukhari).

Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sucinya tempat air seseorang diantara kamu jika dijilat anjing ialah dengan dicuci tujuh kali, yang pertamanya dicampur dengan debu tanah.” Dikeluarkan oleh Muslim. Dalam riwayat lain disebutkan:“Hendaklah ia membuang air itu.”  Menurut riwayat Tirmidzi:“Yang terakhir atau yang pertama (dicampur dengan debu tanah).”

Pendapat pertama dan dalil-dalilnya:

Pendapat pertama menyatakan bahawa seluruh anjing sama ada kecil atau besar adalah najis. Ini adalah pendapat Mazhab al-Syafi‘iy dan Hambali. Terdapat dua dalil yang menjadi hujah bagi pendapat pertama ini.

Dalil pertama adalah berdasarkan kaedah qiyas. Suruhan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk membasuh bekas yang diminum oleh anjing adalah dalil bagi menunjukkan najisnya lidah, air liur dan mulut anjing. Memandangkan lidah dan mulut adalah anggota utama haiwan dan ia dikategorikan sebagai najis maka sudah tentu lain-lain anggotanya  - yakni seluruh badannya – adalah najis juga. Lebih dari itu air liur anjing terhasil daripada peluhnya sendiri, maka jika peluh yang keluar dari mulut (yakni air liur) adalah najis maka sudah tentu peluh yang keluar daripada seluruh badannya adalah najis juga. Maka dengan itu seluruh badan anjing adalah najis.

Dalil kedua adalah berdasarkan sebuah hadis:

Bahawasanya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam diundang ke rumah satu kaum lalu baginda memenuhi undangan tersebut, kemudian baginda diundang ke rumah satu kaum yang lain namun tidak baginda memenuhinya. Lalu ditanya kepada baginda kenapa? Baginda menjawab: “Sesungguhnya pada rumah si fulan itu ada anjing.” Lalu dikatakan kepada baginda: “Dalam rumah si fulan (undangan pertama) ada kucing. Baginda menjawab: “Sesungguhnya kucing bukan najis.”

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Daruquthni dan al-Hakim. Berdasarkan hadis ini difahami bahawa anjing adalah najis (berbeza dengan kucing yang bukan najis).
  
Pendapat kedua dan dalil-dalilnya.

Pendapat kedua menyatakan bahawa anjing tidak najis seluruhnya, demikian yang masyhur daripada Mazhab Maliki. Mazhab Hanafi berpendapat seumpama kecuali mulut, air liur dan tahi anjing, ketiga-tiga ini mereka kategorikan sebagai najis.

Kesimpulannya  jelas kelihatan keindahan dan keunikan agama Islam dan hukum-hakam yang tertakluk buat seluruh makhluk di muka bumi ini. Walaupun anjing dan babi terutamanya dianggap najis mughallazah tetapi masih dianggap haiwan yang berhak menerima layanan seperti makhluk lain.  Janganlah disebabkan hukum yang sedemikian menjadikan kita,umat Islam khususnya, memandang serong dan menghina haiwan tersebut. Harus diingat, apabila berlaku penghinaan maka yang dihina ialah penciptaNya. Semoga kita dapat mempraktikkan sikap ehsan terhadap semua makhluk tanpa prejudis.