Sunday, May 12, 2013

Rintihan Hati Anjing Jalanan


Pernahkah sesiapa di antara kita mengunjungi "pound" atau pusat kurungan haiwan jalanan/strays terutamanya anjing? Sebenarnya ia pasti satu pengalaman yang tidak mudah dilupakan dan banyak pengajaran serta iktibar yang dapat kita jadikan sebagai pedoman.

Masih lagi berlegar-legar ingatan di fikiran aunty apabila menjejakkan kaki untuk kali pertama di salah sebuah pusat kurungan haiwan yang terdapat di sini.  Agak berat kaki untuk melangkah ke dalam, disebabkan bunyi salakan strays yang mendayu, sayu dan pilu. Namun aunty pergi juga untuk melihat keadaan mereka yang masih mengharap dan berdoa agar ada insan yang sudi mengeluarkan mereka sementara hukuman belum dijatuhkan. 

Sebaik pintu masuk dibuka, anjing-anjing tersebut meluru berlari ke arah aunty dan ada di antara mereka yang kelihatan uzur, sakit dan tidak bermaya untuk bergerak.  Terdapat juga anak anjing yan masih kecil yang ketiadaan ibu dan paling memilukan ada seekor ibu anjing yang baru  melahirkan anak dalam beberapa hari sahaja dan anak-anaknya merengek untuk menyusu.

Terpana dan tertusuk hati ini kerana tidak mampu melakukan apa- apa selain melihat sahaja. Ada juga di antara anjing ini apabila didekati  menghulurkan tangan dan kepala seperti minta untuk dibelai dan diusap.  Sungguh sedih dan pilu melihat reaksi mereka, seperti memberitahu agar aunty membawa mereka pulang.

Terpancar kesedihan dan kepiluan di mata mereka namun apakan daya aunty tidak mampu membawa mereka pulang.  Pada ketika itu, aunty hanya mampu mengusap kepala mereka sambil berbisik , “Maafkan diri ini kerana tidak dapat membawa kamu pulang...semoga belaian ini dapat mengurangkan segala rintihan hati kamu walaupun ia tidak dapat menyelesaikan masalah kamu. Maafkan diri ini kerana memberikan kamu harapan yang tidak dapat dijadikan kenyataan. “  Berguguran airmata tanpa henti buat seketika mengenangkan nasib yang bakal mereka terima.

Nasib anjing-anjing ini agak malang berbanding kucing-kucing jalanan di situ. Aunty diberitahu kucing-kucing tersebut  setiap minggu ada insan-insan berhati mulia yang membawa mereka pulang.

Mengapakah kita manusia selalu menyalahkan mereka sahaja?  Bukankah kesalahan itu datangnya dari kita manusia yang membuang mereka ketika tidak diperlukan, yang membiarkan mereka membiak tanpa dimandulkan sehingga populasinya tidak terkawal dan yang mendera mereka apabila berlaku sesuatu yang tidak disukai oleh kita.

Akhirnya jalan penyelesaian, membuang mereka di merata-rata tempat dan menyebabkan ketidakselesaan pada masyarakat sekeliling.  Bagi masyarakat sekeliling pula, tidak terfikirkah mereka bahawa mereka juga makhluk Allah Subhanahu Wataala dicipta bersebab.  

Tidak bolehkah kita bersama-sama berkongsi ruang hidup dalam persekitaran yang sama.  Benar terdapat masalah timbul seperti kacau-ganggu, penyelongkaran sampah, dan lain-lain.  Tetapi tidak terfikirkah bahawa kita boleh menyumbangkan usaha untuk memandulkan, memvaksinkan dan memberi makan pada waktu-waktu yang ditetapkan strays ini akan menjadi jinak dan hidup mereka lebih teratur. 

Jika kita tidak mampu untuk memberi bantuan yang sedemikian tidak mengapa.  Janganlah kita mencederakan atau memberi provokasi pada mereka. Alangkah baiknya jika kita dapat membawa pulang strays ini untuk digunakan pelbagai khidmat. Contohnya menjaga ladang–ladang dan kilang-kilang kecil terutamanya. 

Dengan sedikit latihan dan tahap kesihatan yang baik pasti dapat menjalankan tugas mereka. Begitu juga untuk menjaga harta dan kawasan rumah  terutama yang jauh tinggal di kawasan terpencil. Namun tidak semudah yang dijangkakan kerana sikap dan persepsi segelintir masyarakat  kita masih menganggap strays ini hanya mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan dan masyarakat.

Menjadi harapan aunty dan pasti ramai di luar sana agar strays ini dapat hidup ‘bersama’ di mukabumi ini.  Pasti lebih indah  kehidupan ini apabila kita saling hormat-menghormati dan kasih-mengasihi antara manusia yang dikurniakan akal dan haiwan yang berperasaan tetapi tidak berakal.