Sekadar pandangan dari aunty, seorang pecinta dan penyelamat
haiwan, mengenai isu menyentuh anjing yang hangat diperkatakan dalam program I
Want To Touch A Dog.
Apa yang bakal
dinukilkan adalah luahan hati aunty yang telah lama merasai pahit-manis dalam
dunia haiwan yang tampak indah pada zahirnya namun penuh dengan pelbagai onak dan
ranjau yang harus dilalui.
Syed Azmi |
Tidak dapat dinafikan bahawa dalam dunia penyelamat haiwan
strays, kita tidak dapat lari dari menyentuh haiwan seperti anjing - Seekor
haiwan yang dianggap haram oleh sesetengah muslim terutama Melayu Muslim
tempatan. Aunty tidak akan menjelaskan
secara detail mengenai hukum-hakam kerana aunty bukan seorang yang layak untuk
membicarakannya dan lagi pun masyarakat telah
arif mengenai hukum najis mughallazah di sisi Mazhab Syafie yang menjadi pengangan majoriti.
Namun begitu kita perlu ketahui juga pandangan dan pegangan Imam
seperti Hanafi, Hambali dan Maliki yang
hidup pada zaman dan tempat yang berlainan.
Pandangan mereka berlainan tetapi kelainan itu tidak pernah menjadi
halangan untuk mereka berbalah malah saling hormat menghormati dan menerima
pandangan dengan berlapang dada. Perbezaan yang wujud dijadikan satu titik
untuk menyatukan mereka.
Menyentuh anjing pada program I Want To Touch A Dog telah
menyentuh dan mengguris sensitivi umat Islam terutama Melayu. Sehinggakan ada
diantara komen-komen yang dilontarkan di luar jangkaan atau lebih tepat luar
adab sebagai seorang Islam.
Menjatuhkan
hukuman kafir, murtad dan sesat sebagainya amat tidak beradab dalam menasihati
mereka samada penganjur mahupun peserta-peserta yang terlibat. Dinyatakan
menyentuh anjing tanpa bersebab haram dari segi fiqh Syafie’. Dari itu
kesalahan lebih dilihat pada mereka kerana tidak menghormati sensitiviti
masyarakat setempat. Namun harus diingat
bahawa program ini telah mendapat kelulusan dari pihak Majlis Agama Islam
Selangor (MAIS) kerana didapati tidak melanggar peraturan. Kalau dilihat susunan aturcara tanpa cacat-cela namun pasti ia masih tidak dapat
memuaskan hati mereka yang tidak setuju dengan program tersebut.
Menurut pengalaman aunty pasti akan ada tentangan bila usaha
sebegini dilakukan kerana stigma yang begitu mendalam yang telah bertapak pada
diri sesetengah masyarakat melayu muslim. Walaupun tujuan atau nawaitu sebenar
untuk memperjelaskan bahawa Islam agama universal yang mengajar kasih-sayang,
berbaik dan ihsan terhadap semua makhluk ciptaanNya. Sewajarnya kita berbuat
sedemikian kerana kita sebagai Khalifah yang dikurniakan akal dan berbekalkan
iman, selagi mana makhluk ini tidak merbahaya dan mendatangkan kemudharatan.
Bagaimana caranya untuk kita sampaikan kepada masyarakat yg non-muslim selain
dari perkataan. Tentu dengan menzahirkan melalui perbuatan kerana Islam itu
adalah cara kehidupan. Ini yang aunty terapkan apabila menyelamat dan memberi
makan pada strays tidak kira anjing, kucing, kera, monyet dan sebagainya.
Naluri ini merasa tersentuh apabila melihat haiwan
yang tidak bersuara ini seolah-olah seperti memohon bantuan apabila dilihat
dari mata mereka. Ada ketika hancur luluh berlinang airmata kerana tidak semua
yang mengendahkan mereka yang memohon bantuan dengan cara mereka
tersendiri. Dalam isu anjing, tidak
dapat lari dari memegang, menyentuh mereka terutama apabila dilanggar
kenderaan, tercedera atau terperangkap.
Sentuhan ini diperlukan demi untuk membantu mereka meredakan rasa cemas
dan gelisah anjing tersebut bahawa kehadiran kita untuk membantu. Mungkin dari
pandangan umum ia sesuatu yang menjijikkan dan menghina Islam. Semua ini
dilakukan dengan bersebab dan Allah Maha Mengetahui.
Bagaimana pula dengan mereka yang mempunyai keinginan menyentuh
bagi menghilangkan rasa takut atau fobia terhadap anjing atau yang menyentuhnya
dengan harapan untuk membantu anjing yang memerlukan bantuan jika ditakdirkan
suatu hari berdepan dengan situasi sedemikian? Adakah itu dianggap salah dan
haram? Ini semua memerlukan penjelasan yang lebih tepat dan jitu. Namun pasti tidak semudah disangka untuk
merungkainya kerana kita harus bersikap adil dan rasional. Tidak boleh sama sekali mengenepikan
pandangan ahli sunnah wal jamaah demi menjaga sensitiviti semua mazhab.
Alangkah indahnya jika ahli pakar agama dan
para ulamak duduk berbincang bersama menerima perbezaan setiap mazhab demi
perpaduan ummah. Lebih indah jika dapat
diterima approach yang telah dilakukan di program tersebut walaupun berbeza dan
dilihat agak keterlaluan. Namun hakikatnya ia telah berjaya sedikit sebanyak
membuka mata non-muslim terutamanya tentang keindahan Islam sebenarnya. Tidak
keterlaluan untuk kita masyarakat muslim setempat untuk menerimanya jika kita
tidak berprasangka.
Nawaitu penganjur dan yang terlibat dilihat pada dasarnya
agak samar tapi pada dalamannya murni hanya untuk menghilangkan persepi
terhadap anjing. Bagi aunty tiada salahnya jika dianjurkan pada masa hadapan
tetapi mesti dilakukan dengan lebih berhati-hati, terperinci dan memastikan
tidak mengundang kontroversi yang mula dicetuskan media tempatan.
Bagi mereka yang telah terlanjur melontar
cacian, hinaan dan menghukum mereka yang terlibat sebagai murtad, kafir dan
sesat. Nasihat aunty berhati-hati dalam
membuat kenyataan anda kerana anda sendiri telah mengundang dan menyebarkan
fitnah yang lebih besar lagi merbahaya. Kaji dan selidik dahulu apa yang anda
nyatakan melalui FB terutamanya, pastikan setiap maklumat yang diterima adalah
sahih dan benar bukan sekadar rekaan belaka.
Tiada siapa di antara kita ini
yang tidak pernah melakukan kesilapan dan kita belajar untuk membaiki kesilapan
lalu agar tidak berulang. Dengan harapan kita menjadi lebih baik dan mulia.
Usahlah kita perbesarkan isu yang telah acapkali kedengaran jika tiada
perubahan yang dapat dilakukan. Sebaliknya kita perbaiki kesilapan dan
meneruskan kehidupan ini dengan harapan semoga apa jua kita lakukan adalah kerana
dan untuk Allah swt.
Ingatlah hidup mati
kita ini semuanya adalah milikNya. Hargailah sementara ada.