Wednesday, May 30, 2012

Hukuman Tidak Setimpal


Petaling Jaya -  Seorang peniaga mi wantan dihukum penjara sehari dan denda oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku salah mendera seekor anjing dengan menyimbah air panas pada badan haiwan itu 3 bulan lalu.Majistret K.B Elena Hong TYze menyabitkan Ngiu Kok Kong, 42, hukuman tersebut selepas tertuduh mendera anjing jalanan baka Mongrel itu di Kedai Kopi Lucky, Seksyen 17 di sini pada pukul 7.30 malam, 7 Februari lalu.Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Binatang 1953 ( semakan 2006 ) yang membawa hukuman penjara sehingga 6 bulan atau denda maksimum RM200 atau kedua-duanya.Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Veterinar, Chai Heong Onn.Terdahulu, tertuduh memberitahu bahawa anjing liar itu sering datang ke gerainya untuk mencari sisa-sisa makanan."Anjing itu selalu buat kacau, saya tak boleh tahan lagi sebab itu saya simbah dengan air panas." katanya yang kemudian membayar denda itu.

Sumber : Kosmo!


Hukuman yang dikenakan ke atas Ngiu Kok Kong seorang pendera haiwan yang menyimbah air panas pada seekor anjing jenis baka Mongrel dipenjara sehari dan denda RM200.00. Hukuman ini menurut para pecinta haiwan tidak setimpal berbanding dengan kecacatan dan kesakitan yang dialami oleh anjing tersebut. Malah menurut rakan-rakan Aunty kos rawatan yang dibelanjakan adalah melebihi jumlah tersebut. 

Hukuman yang sepatutnya bertujuan mendidik dan mencegah nampaknya gagal memandangkan jumlah denda dan hukuman yang dikenakan adalah lebih murah dari memandu melebihi had laju. Para pendera haiwan tidak akan berasa gerun atau mungkin mentertawakan mereka yang melaporkan perbuatan keji pendera. Dalam hal ini Hakim sebenarnya tidak boleh dipersalahkan kerana hukuman dikenakan berdasarkan peruntukan yang disediakan.  

Para pecinta haiwan termasuk Aunty merasa gembira dan seronok apabila baru-baru ini diwar-warkan bahawa Akta Binatang akan dipinda yang bakal menyediakan hukuman yang berat ke atas pendera Haiwan. Apa yang kita lihat sehingga kini undang-undang itu belum lagi dibentang di Parlimen. Mungkin selepas ini kita akan dengar lebih banyak penderaan terhadap haiwan. Agaknya bila nasib haiwan akan terbela?




Friday, May 25, 2012

Larangan Islam Terhadap Umatnya.


Ketahuilah penganiayaan atau penyeksaan terhadap binatang itu adalah satu kezaliman. Islam melarang keras kepada umatnya melakukan sebarang bentuk kezaliman baik sesama manusia mahupun terhadap binatang. Hatta ketika menyembelih pun, binatang itu hendaklah diperlakukan dengan penuh ihsan. Sebagaimana yang disyariatkan hendaklah menggunakan pisau yang tajam serta makruh mengasah pisau di hadapan binatang yang akan disembelih dan menyembelih binatang lain di hadapannya. Perbuatan menyeksa atau menganiaya binatang adalah jelas haramnya. Al-Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah mengkategorikan menyeksa binatang itu termasuk dalam dosa-dosa besar. Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: 
Sesiapa yang menyeksa sesuatu yang bernyawa, lalu tidak bertaubat, nescaya Allah menyeksanya pada Hari Kiamat.” 
(Hadits riwayat Ahmad)

Antara bentuk-bentuk penyeksaan dan penganiayaan yang dilakukan terhadap binatang ialah:

1. Melagakan binatang

Melagakan atau menyabung binatang mendedahkannya kepada bahaya, kesakitan bahkan boleh mengakibatkan kematian.

Perbuatan ini adalah dilarang oleh Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam. Larangan tersebut dinyatakan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma katanya:

Maksudnya:
Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam melarang melaga binatang.”
(Hadits riwayat at-Tirmidzi dan Abu Daud)

2. Memukul dan menyelar muka binatang

Muka adalah bahagian anggota badan yang lembut. Memukul dan menyelar pada bahagian muka adalah antara bentuk penyeksaan terhadap binatang. Menyelar muka binatang bagi tujuan meletakkan tanda pengenalan binatang ialah menggunakan besi panas yang telah dibakar. Perbuatan demikian sudah tentu mendatangkan kesakitan yang amat sangat, lebih-lebih lagi pada bahagian muka. Dari itu perbuatan ini adalah dilarang.

Sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Jabir Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya:
“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang memukul dan menyelar muka.”
(Hadits riwayat Muslim)

Muka binatang juga termasuk di dalam larangan ini. Allah Subhanahu wa Ta‘ala melaknat mereka yang menyelar muka binatang. Sahabat Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam,

Jabir Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan sebuah hadits mengenai perkara ini, katanya:

Maksudnya:
“Bahawasanya telah melintas di hadapan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam seekor keldai yang telah diselar pada bahagian mukanya. Maka Baginda bersabda: “Allah melaknat orang yang menyelar (pada bahagian muka) keldai”.
(Hadits riwayat Muslim)

Adapun menyelar binatang bukan pada bahagian muka seperti badan binatang itu maka tidaklah diharamkan bahkan harus hukumnya.

3. Memisahkan anak daripada ibunya

Perbuatan memisahkan anak binatang yang masih kecil daripada ibunya boleh mendatangkan kesusahan kepada anak binatang tersebut. Ini kerana ia masih perlukan penjagaan dan perlindungan daripada ibunya, sama seperti kita manusia. Oleh sebab itulah perbuatan ini dilarang oleh syara‘. Hal ini pernah diriwayatkan oleh ‘Abdullah Ibn Mas’ud Radhiallahu ‘anhu mengenai anak burung yang dipisahkan daripada induknya, beliau berkata:

Maksudnya:
Adalah kami (kata ayahanda Abdullah) bersama- sama Rasulullah solallahu ‘alaihi wasallam dalam suatu perjalanan. Lalu Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam berangkat kerana suatu keperluan Baginda, maka kami melihat hummarah (sejenis burung), bersamanya dua ekor anaknya, kami pun mengambil dua ekor anak burung itu, maka datanglah hummarah itu mengkebas-kebas kepaknya. Lalu Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam pun datang dengan bersabda: “Siapa yang menyakiti (menyusahkan) anak-anak burung ini dengan (memisahkan) dari ibunya? Kembalikan semula anak burung ini kepada ibunya …”
(Hadits riwayat Abu Daud)

4. Mengurung sehingga mati kelaparan

Mengurung binatang tanpa memberinya makanan sehingga dibiarkan mati kelaparan adalah dilarang dan ia boleh menyebabkan seseorang itu masuk neraka, sebagaimana diceritakan dalam suatu peristiwa:

Ertinya:
“Diseksa seorang perempuan (kerana) seekor kucing yang telah dikurungnya sehingga mati kelaparan. Dengan sebab itu masuklah perempuan itu dalam api nereka.”

5. Membakar binatang

Membunuh binatang dengan cara membakarnya sama ada yang boleh dimakan atau tidak adalah dilarang dan berdosa besar. ‘Abdullah bin Mas’ud Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan dengan berkata:

Maksudnya:

“Dan Baginda melihat sarang semut yang telah kami bakar. Maka Baginda bersabda: “Siapa membakar ini?” Kami menjawab: “Kami.” Baginda bersabda: “Sesungguhnyatidak seharusnya diazab dengan api melainkan oleh Tuhan Pemilik api itu (iaitu Allah Subhanahu wa Ta‘ala).”
(Hadits riwayat Abu Daud)

6. Membunuh untuk dipersia-sia

Membunuh binatang dengan tujuan mensia-siakannya dan bukannya untuk dimanfaatkannya adalah satu penganiayaan. Asy- Syarid Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan sebuah hadits mengenai hal ini dengan berkata:

Maksudnya:

“Aku telah mendengar Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang membunuh burung untuk dipersia-sia, ia (burung) mengadu (dengan suara yang kuat) kepada Allah ‘azza wa jalla di hari akhirat, dengan katanya: “Wahai Tuhan! Sesungguh si polan telah membunuhku untuk dipersia-sia dan dia tidak membunuhku untuk tujuan dimanfaatkan.”
(Hadits riwayat an-Nasa’ie)

7. Menjadikan sebagai sasaran

Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam melaknat mereka yang menjadikan binatang sebagai sasaran sama ada dengan melontarnya, memanahnya, menembaknya, melastiknya atau sebagainya. Perkara ini disebut dalam hadits yang diriwayatkan oleh Sa‘id bin Jubair di mana Ibnu ‘Umar pernah menegur budak-budak yang melontar burung yang dijadikan sebagai sasaran dengan berkata:

Maksudnya:
“Siapa melakukan ini, Allah melaknat siapa yang melakukan ini. Sesungguhnya Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam melaknat sesiapa yang menjadikan sesuatu yang bernyawa sebagai sasaran.” 
(Hadits riwayat Muslim)

Sesungguhnya sifat belas kasihan dan rahmat itu adalah antara beberapa tuntutan dalam agama Islam. Sabda Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya:
Orang-orang yang bersifat rahmat dan belas kasihan, mereka itu dirahmati oleh Tuhan ar-Rahman, maka hendaklah kamu bersifat rahmat kepada penduduk-penduduk bumi, nescaya kamu akan dirahmati oleh siapa yang berada di langit.
(Hadis riwayat Abu Daud)

Sesiapa yang melakukan belas kasihan atau berlaku rahmat, sekalipun kepada binatang bukan saja Allah menerima amalnya itu, bahkan Allah akan mengampuni dosanya sebagaimana hal ini disebut oleh Rasulullah sollallahu ‘alaihi wasallam dalam suatu peristiwa:

Maksudnya:
“Ada seorang laki-laki sedang berjalan, merasa sangat kehausan, lalu dia pun turun ke dalam telaga dan minum dari telaga itu, kemudian dia keluar, tiba-tiba dia melihat seekor anjing terjulur-julur lidahnya (sambil) menjilat tanah basah kerana kehausan. Orang itu berkata demi sesungguhnya telah sampai keadaannya seperti keadaan-ku, lalu dia (turun untuk) mengisi sepatunya (dengan ayer), dan dipegangnya dengan mulutnya, kemudian dia naik ke atas dan memberi minum anjing itu. Maka Allah Ta'ala menerima dan memuji di atas budinya dan ihsannya itu dengan mengampunkan dosa-dosanya. Lalu sahabat-sahabat yang ada di situ bertanya: “Adakah kita mendapat pahala berbuat baik kepada binatang-binatang? Baginda bersabda: “Berbuat baik kepada tiap-tiap hati yang hidup itu (yang bernyawa) diberi pahala.”
(Hadis riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, janganlah menganiaya, menyeksa dan menzalimi binatang atau tidak ada belas kasihan terhadapnya. Melakukan penganiayaan, penyeksaan dan kezaliman terhadap binatang bukan hanya menjauhkan kita daripada rahmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala bahkan boleh mengundang azab di akhirat kelak.





Thursday, May 24, 2012

Hari Ini Aunty Merasa Teramat Sedih, Geram Dan Marah

Salam sejahtera buat semua... 

Hari ini aunty merasa teramat sedih, geram dan marah. Semuanya bercampur-baur akibat tindakan segelintir manusia yang tidak berperikemanusiaan. 

Aunty dan hubby telah didatangi seorang pemotong rumput Bangladesh. Dia kerap memotong rumput halaman rumah kami. Pagi itu dia telah datang pada kami untuk memberitahu akan satu kisah malang yang telah berlaku di taman Aunty. Kejadian ini berlaku hampir sebulan yang lalu, pada waktu petang hujung minggu. 


Ketika itu dia berjalan bersama temannya disebuah kebun pisang, terdapat ramai orang di situ. Dia pun hairan lalu mendekati, alangkah terkejutnya apabila dilihat seekor anjing digantung di sebuah dahan pokok. Di dalam parit yang berdekatan pula ada beberapa ekor anak anjing yang masih kecil...dia pasti mereka masih menyusu. Apa yang dihairankan begitu ramai yang berada disitu tetapi tiada siapa yang menegur sebaliknya menyokong atau mendiamkan diri akan perbuatan kejam itu.


Pemotong rumput itu ingin membantu anjing tersebut tetapi dinasihati oleh teman senegara supaya tidak kerana ditakuti akan dipukul oleh mereka yang ramai. Lalu dia pun bergegas ke rumah aunty untuk meminta bantuan tetapi amat malang sekali didapati kami tiada dirumah. Kebetulan pada hari tersebut kami telah pulang ke kampung atas urusan keluarga. Hatinya resah, sedih dan pilu kerana tidak dapat membantu. 

Aunty tidak dapat bayangkan betapa kejamnya segelintir jiran yang kami kenal adalah manusia yang baik dan peramah pada zahirnya dengan kami tetapi pada hakikatnya kejam lagi zalim. 

Disambung cerita mereka biarkan ibu anjing itu seharian tergantung sehingga mati....betapa remuknya hati aunty apabila mendapat tahu bahawa anaknya juga dibiarkan mati kelaparan. Hati ini terdetik bertanya dimanakah kemanusiaan mereka...takkan hanya kerana ibunya telah merosakkan tanaman pisang atau memakan ayam ternakan maka hukumannya digantung??? 

Siapakah kita untuk berbuat sedemikian ??!!! 


Dimanakah hak mereka sebagai makhluk Allah untuk hidup di muka bumi ini??? Dimanakah iman kita pada ketika itu???? Dimana?!!! Begitulah akhir kehidupan seekor anjing betina yang beranak lima...kesemuanya dibiarkan mati hanya kerana mereka yang bernafsukan syaitan....amat malang sekali tiada apa yang dapat kami lakukan pada ketika itu dan sekarang semuanya dibiarkan berlalu begitu sahaja. Jika begini sikap segelintir manusia bagaimanakah ingin mendapatkan rahmatNya sedangkan ehsan tiada langsung sesama makhluk.

Renungkanlah Wahai Umat Muhammad:

Sewaktu perjalanan Rasulullah dari Madinah ke Mekah pada tahun kemenangan (Ya'um al fath) atas kota Mekah. Nabi melihat seekor ibu anjing berbaring disisi jalan dengan anaknya yang baru lahir. Anjing itu sedang menyusukan anak-anaknya. Beliau khuatir pasukan Islam yang ramai itu akan mengganggu keasyikkan anak anjing itu menyusu atau mungkin akan mencederakannya. Maka Rasullulah telah menyuruh seorang sahabat yang bernama Ju'ayl untuk menjaga anjing itu sehingga habis pasukan Islam melewati anjing itu.





Wednesday, May 23, 2012

Anjing yang bernama comel ini terselamat dari menjadi mangsa

Anjing yang bernama comel ini terselamat dari menjadi mangsa pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai pagi 14 Mei 2012 dalam operasi jejak anjing jalanan. Ikuti Kisahnnya:

Nurhanizah akan bangun waktu pagi seperti hari-hari biasa menunaikan kewajipan muslim,memasak dan mengemas rumah. Dia juga melakukan rutin yang agak pelik bagi penduduk sekitar tamannya dengan memberi makan 2 ekor anjing jalanan yang sering bertandang ke rumahnnya pada setiap pagi bagi mendapatkan rezeki dari keluarga ini.  Tidak tergambar betapa riang dan gembiranya beliau bersama ibunya kerana dapat berkongsi rezeki nikmat Allah kepada haiwan jalanan termasuk kucing.

Keluarga ini menamakan seekor anjing itu dengan panggilan Comel. Selepas makan seperti biasa Comel dan kawannya akan beredar dari situ seolah-olah ia memahami bahawa kehadirannya di situ kurang disenangi oleh sebahagian penghuni. Nurhanizah tidak pernah menjangka bahawa pagi itu merupakan hari-hari terakhir kepada salah sekor anjing yang bertandang di muka pintu rumahnya.

Sedang Comel dan kawannya itu menikmati saki baki makanan paginya tiba-tiba Van yang dinaiki oleh beberapa lelaki berhenti di hadapan rumahnya dengan cangkuk dan bersenjata api. Fahamlah beliau bahawa mereka itu adalah Petugas MPSP yang sedang melakukan operasi menangkap dan membunuh anjing. Tanggapan beliau benar apabila anjing yang baru sahaja selesai makan itu dikepung dan beliau tergamam oleh tindakan itu. Ketika itu muncul macam suatu kekuatan pada dirinya dan beliau menjerit sekuat hati agar anjing itu lari dan tidak diapa-apakan. Petugas MPSP sempat mencangkuk seekor anjing yang menjadi kawan comel dan ditusuk dengan besi tajam lalu mati di situ juga.  

Beliau sempat menyelamatkan Comel dengan menyimpan sementara waktu di car porchnya. Apa yang menyedihkan beliau bahawa jiran-jiranyanya hanya sekadar menjadi penonton kepada satu episod drama tanpa berbuat apa-apa.Tindakan kejam MPSP membuatkan beliau sedih trauma sehingga kini. 

Monday, May 14, 2012

Kasarnya Kita Terhadap Anjing… ISLAM Ajar Begitukah?

By Shahmuzir
Sedang berbual-bual dengan lebih kurang 25 orang remaja yang berlatarbelakang pendidikan agama, tiba-tiba kedengaran bunyi anjing bising menyalak.  Saya berhenti sebentar bercakap kerana salakan anjing itu terlalu bising, malah disahut oleh anjing-anjing yang lain.  Remaja-remaja ini tersenyum melihat gelagat saya yang tiba-tiba berhenti bercakap seakan memberi ruang kepada anjing-anjing itu meluahkan perasaan mereka.

Setelah keadaan mulai reda, saya bertanya kepada remaja-remaja ini, “Apa yang kamu buat jika kamu terserempak dengan anjing?”
“Saya larilah ustadz”  jawab seorang remaja lelaki yang berumur 16 tahun.  Diikuti gelak ketawa remaja-remaja yang lain.  Saya pun tertawa melihat telatah mereka.
“Selain tu, apa awak buat?”  tanya saya.
“Kalau saya, saya ‘standby’ batu ustadz.  Kalau dia datang dekat, saya baling je batu kat dia…”  jawab seorang remaja yang lain, sambil diangguk oleh beberapa remaja lain tanda setuju.
“Besar tak batu tu?”  Saya sengaja mengusik.
“Kalau takde yang besar, yang kecil pun jadilah…standby tetap standby!”  dengan selamba dia menjawab, membuatkan semua tertawa.
“Lagi?  Ada jawapan lain?”  saya bertanya lagi.
“Hmmm… alaa… ada bacaan tu, saya tak ingatlah ustadz… ‘summum… summum…’ …alahai tak ingat pulak”  seorang remaja muslimah mencuba.
“…صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لا يَرْجِعُونَ…yang ni ke?”  saya bertanya.
“Ha’ah…yang tu ustadz.  Betul!”  Remaja muslimah itu lega kerana cubaannya dapat difahami saya.
Masing-masing menantikan respon saya.  Agaknya jawapan si muslimah tadilah jawapan yang tepat dan menepati kehendak saya sebagai penanya soalan.
“Ya, itulah diajar kepada saya dulu semasa saya kecil-kecil.  Tetapi nanti dulu, saya nak tanya kalau awak terjumpa kucing ada ke awak semua buat macam tu semua?  Habis tu, kenapa anjing awak buat macam tu pula?”  saya mengajak mereka berfikir.
Masing-masing terpinga-pinga.  Mereka seakan terkejut dengan respon saya.  Nampaknya seperti jawapan mereka tidak mengena.  Saya lalu menceritakan kepada mereka bahawa anjing juga adalah haiwan ciptaan ALLAH Ta’ala.  Kita tidak boleh melakukan kezaliman kepada mana-mana makhluq ALLAH.  Kezaliman kita terhadap makhluqNYA akan dipertanggungjawabkan ALLAH pada Hari Akhirat nanti. Lalu, kami berbincang secara ringkas apakah hukum feqh berkenaan anjing.  Apabila mereka memberikan jawapan, ternyata mereka sendiri sedar bahawa apa yang dipelajari mereka tidak sama dengan persepsi mereka terhadap anjing.  Bersentuhan dengan anjing tidak berdosa.  Bersentuhan dengan wanita yang bukan mahram tanpa ikatan pernikahan itu yang berdosa.  Sepatutnya perasaan takut itu lebih besar untuk berada berhampiran dengan wanita yang dimaksudkan berbanding rasa takut untuk bersentuhan dengan anjing.  Bunyi macam kasar.  Tetapi itulah kenyataannya…

Tuan/puan sekalian,
Inilah yang berlaku di dalam masyarakat kita.  Saya tidak menyalahkan anda semua, kerana kita telah dididik sebegitu rupa.  Sejak kecil saya dan kita semua telah dimomokkan dengan kejahatan makhluq bernama anjing.  Saya juga mempunyai sikap yang sama seperti remaja-remaja di atas.  Cuma, alhamdulillah, mereka telah lebih awal diperkenalkan dengan sikap yang betul apabila mereka diajak berfikir sebegitu rupa.

Saya sendiri bermula agak lambat.  Saya mula sedar setelah melihat beberapa pekerja berasal dari Bangladesh yang tidak kisah dengan anjing, memberi makanan kepadanya dan berlaku baik terhadap anjing di tempat kerja saya.  Bangladeshi yang saya kenali ini adalah Muslim.  Mereka taat menjaga solat fardhu 5 waktu, soleh dan amanah.  Sikap mereka terhadap anjing berbeza sungguh dengan saya dan lain-lain muslim di negara ini… Saya sudah tahu tentang hukum feqhnya, tetapi persepsi buruk terhadap anjing sangat kuat.  Masalahnya ialah pada persepsi.
Apatah lagi di dalam nas hadith ada disebut tentang galakan berbuat baik terhadap binatang, dan di dalam hadith tersebut Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam menyebut tentang anjing.  Diriwayatkan  oleh Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahwa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi waallam telah bersabda:
“Tatkala seorang lelaki sedang berjalan pada sebuah jalan terasalah olehnya dahaga yang sangat.  Lalu ia mendapati sebuah sumur dan bersegeralah ia meneruninya untuk minum.  Ketika keluar, tiba-tiba dia melihat seekor anjing menjulurkan lidah sambil menjilat-jilati debu karena sangat haus. Lelaki itu berkata:  “Anjing ini sedang kehausan seperti aku tadi” lalu turunlah dia kembali ke dalam sumur untuk memenuhi sepatu kulitnya dengan air lalu digigit agar dapat naik kembali.  Kemudian ia meminumkan air itu kepada anjing tersebut.  ALLAH berterima kasih kepadanya lalu mengampuninya.  Para sahabat bertanya:  “Wahai Rasulullah!  Apakah kami akan mendapatkan pahala kerana binatang-binatang seperti ini?”  Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam menjawab:  “Pada setiap yang bernyawa (makhluk hidup) ada pahalanya.”  (Shahih Muslim No.4162)

Lihatlah tuan/puan sekalian… Betapa ALLAH telah sediakan kebaikan dan pengampunan dosa sekiranya kita berbuat baik kepada binatang-binatang.  Di dalam hadith yang lain, Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu telah meriwayatkan bahawa Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
“Bahwa pada suatu hari yang sangat panas seorang wanita pelacur melihat seekor anjing sedang mengelilingi sebuah sumur sambil menjulurkan lidahnya kerana kehausan.  Ia kemudian melepas sepatu kulitnya (untuk mengambil air sumur yang akan diminumkan kepada anjing), lalu wanita itu diampuni dosanya. (Shahih Muslim No.4163)

Nah, cukuplah contoh di atas bagi membuka minda kita bahawa jangan berlaku zalim terhadap anjing sebagaimana kita diajar dulu.  Anjing sebagaimana makhluq ALLAH yang lain mempunyai hak untuk ia hidup dengan aman di muka bumi ALLAH ini.
Walau bagaimanapun, janganlah pula kita menganggap bahawa anjing ini boleh dibuat peliharaan!  Sedikit secara ringkas pandangan ISLAM terhadap anjing ialah:
  • Anjing adalah makhluq ALLAH yang wajar mendapat kebaikan dan hidup secara aman di muka bumi ini.
  • Berbuat baik kepada haiwan, contohnya anjing, akan diganjari ALLAH dengan kebaikan, diampuni dosa dan ALLAH berterima kasih dengan perbuatan itu.
  • Boleh memanfaatkan anjing sebagai haiwan buruan, menjaga ternakan, melindungi harta dan seumpama dengannya.
    Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wa sallam bersabda:  “Barangsiapa memelihara anjing -kecuali anjing penjaga ternak, anjing pemburu, atau anjing penjaga tanaman- pahalanya akan dikurangi satu qirath setiap hari.”  (Muttafaq Alaihi)
  • Boleh membunuh anjing gila.Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Ada lima jenis binatang yang tidak berdosa jika seseorang membunuhnya iaitu gagak, burung rajawali, tikus, kala jengking dan anjing gila.”  (Sahih Bukhari)
  • Rumah yang ada anjing atau gambar di dalamnya, Malaikat tidak akan masuk.
    Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Malaikat tidak akan memasuki rumah yang ada anjing atau ada gambarnya.”(Sahih Muslim No.3929)
  • Dilarang memelihara anjing sebagai teman, hiburan atau binatang peliharaan (pet).
    Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wa sallam bersabda:  “Barangsiapa memelihara anjing -kecuali anjing penjaga ternak, anjing pemburu, atau anjing penjaga tanaman- pahalanya akan dikurangi satu qirath setiap hari.”  (Muttafaq Alaihi)
  • Jilatan anjing mesti dibasuh dengan 7 kali basuhan dengan dicampuri tanah pada salah satu basuhan itu.
    Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:  “Apabila anjing minum dari bejana salah seorang di antaramu, cucilah bejana itu tujuh kali.”  (Sahih Bukhari).
    Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sucinya tempat air seseorang diantara kamu jika dijilat anjing ialah dengan dicuci tujuh kali, yang pertamanya dicampur dengan debu tanah.” Dikeluarkan oleh Muslim. Dalam riwayat lain disebutkan:“Hendaklah ia membuang air itu.”  Menurut riwayat Tirmidzi:“Yang terakhir atau yang pertama (dicampur dengan debu tanah).”
  • Anjing yang lalu-lalang di halaman tidak menajiskan, melainkan sekiranya jelas kelihatan anjing itu membuang najis atau menjilat-jilat. Abdullah (Ibnu Umar) radhiAllahu ‘anhu berkata, “Anjing datang dan pergi (mundar-mandir) di masjid pada zaman Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam dan mereka tidak menyiramkan air padanya.”  (Sahih Bukhari)
    Sebagai muslim, kita mesti taat dan patuh terhadap ajaran agama ISLAM.  ISLAM telah menetapkan beberapa peraturan dan hukum berkenaan anjing.  Secara ringkasnya telah saya senaraikan di atas nas-nasnya.
    Walau bagaimanapun, janganlah kita berbuat zalim kepada anjing.  Hukum feqh terhadap anjing bukanlah bermakna kita mesti berbuat aniaya terhadap anjing.  Hukum itu mempunyai hikmah tertentu dan wajib kita sebagai muslim mematuhinya, sebagai tanda iman yang kukuh.
    Mudah-mudahan tulisan ringkas ini bisa menjadikan saya dan kita semua agar menjadi hamba ALLAH yang kasih kepada makhluq ALLAH yang lain.  Dan semoga selepas ini, tiada lagi ada insan muslim di tempat kita yang berbuat zalim terhadap anjing sebagaimana zaman kita kecil dahulu.
    WAllahu A’lam.



    Friday, May 11, 2012

    Betapa Gembira Aunty Dan Hubby Dikunjungi



    Pada hari Ahad 6 Mei kediaman Aunty lagi sekali menerima kunjungan rakan dan pecinta Haiwan. 
    Betapa gembira Aunty dan Hubby kerana yang datang kali ini berkunjung adalah seorang yang cukup dikenali di kalangan pencinta haiwan, yang mempunyai ramai followers di blognya dan di facebook. Tetamu yang Aunty maksudkan adalah Mohd Hairey Yahya atau lebih dikenali sebagai Papa Hero dan Mama Hero atau nama sebenarnya Mariah Ghani serta 2 anak kembarnya. 

    Sejurus selepas itu Dr. Asrul, Dr. Khairi dan Ustazah Liya dari Kuala Lumpur turut sama berkunjung ke kediaman Aunty. Kehadiran mereka ke kediaman Aunty adalah kali yang kedua kecuali Dr. Khairi. Mereka ini  Aunty anggap seperi anak dan mereka tak kekok pula memanggil Aunty Ummi dan Hubby sebagai Walid. 


    Semua tetamu berada di kediaman Aunty sehari suntuk berbual, berbincang dan berkesempatan juga bermesra dengan kucing-kucing Aunty yang agak besar jumlahnya. Walau pun berkali-kali Aunty mempelawa mereka untuk bergerak ke Rumah Tetamu yang jaraknya selang sebuah rumah dari kediaman Aunty. Rupanya tetamu Aunty lebih selesa dikelilingi kucing-kucing yang nakal. 

    Hampir 5 jam kami berbicara mengenai kebajikan haiwan jalanan tanpa ada rasa jemu atau bosan. Telah menjadi kebiasaan apabila pecinta haiwan bertemu tiada isu yang hendak diketengahkan selain topik haiwan peliharaan atau strays. Agak meriah juga suasana rumah aunty pada hari itu. Alangkah bagusnya kalau situasi begini berterusan pada setiap kali hujung minggu.

    Mereka juga bertanyakan nama-nama kucing Aunty yang banyak itu. Kebanyakannya mempunyai nama kecuali beberapa ekor yang baru direscue masih belum mempunyai nama.

    Kabilat, Fluffy, Tom, Tok Uban, Tok ki, PC, Cimbi, SJ dan Snowy di antara beberapa kucing Aunty yang sempat bergambar bersama tetamu. Tom merupakan kucing yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh Mama Hero kerana mempunyai kisahnya tersendiri.







    Kami sempat mendirikan solat Maghrib berjemaah di Rumah Tetamu diimamkan oleh Hubby.





    Sebelum beredar pulang mereka meminta kebenaran Aunty untuk turut serta memberi makan Anjing Jalanan yang sebenarnya merupakan pengalaman pertama buat Dr. Asrul, Dr. Khairi dan Ustazah Liya.

    Menurut tetamu Aunty sewaktu sampai ke lokasi, suasananya agak menyeramkan. Untuk rekod strays ini berada di premis yang ditinggalkan dalam keadaan gelap tanpa bekalan elektrik.




    Pada malam itu Aunty rasa terharu dan hampir menitiskan airmata kerana menerima sumbangan Kibbles untuk anjing strays daripada Papa Hero dan Mama Hero.







    Ikhlas Aunty katakan bahawa sumbangan Kibbles tersebut merupakan yang pertama Aunty terima dari  orang luar.  Kepada PH dan MH bagi pihak strays, Aunty juga Hubby sudi menerima ucapan terima kasih dan jazakallah. 



    Selepas selesai memberi strays makan tetamu dipelawa untuk menikmati makan malam di restoran yang berdekatan. 











    Tetamu bersurai jam 10.30 malam. 
    Photo aktiviti mereka boleh dilihat: Aktiviti Indoor |  Aktiviti Outdoor 

    Wednesday, May 02, 2012

    Nik dari Bukit Marak Kelantan: Berkunjung


    Kebetulan sewaktu cuti hari pekerja pada 01 Mei 2012 Aunty menerima PM dari seorang yang memperkenalkan dirinya sebagai Nik dari Kelantan menyatakan ingin berkunjung ke rumah Aunty untuk melihat kuncing-kucing Aunty. Kebetulan hari itu Nik berada di Kuala Lumpur beberapa hari dan esok perlu pulang semula ke Kelantan, Secara bergurau Aunty bertanya hadir bersama NGO ke Perhimpunan BERSIH 3.0, Nik kata tiada kaitan., hadir urusan kerja. Kebetulan Uncle tak ada urusan luar dan aunty alukan kunjungannya.. 
    Hampir senja baru Nik sampai, Aunty ingatkan dia datang dengan family rupanya dia ini masih bujang.. hensem juga orangnya. Sementara menunggu Maghrib,  Uncle membawanya ke Rumah Tetamu Aunty yang selalu menempatkan tetamu yang datang untuk berehat atau mandi. 
    Lebih kurang jam 8.00 malam kami bawa Nik untuk menikmati Steamboat ke Restoran Buffet Lucky Hill Arif Seafood Steamboat & Barbecue di Bukit Sentosa sampai kenyang.

    Semasa makan Aunty yang ditemani Uncle berbual berbincang mengenai perihal kebajikan Strays. Nik ada menyebut antara orang yang hendak dia jumpa adalah Papa Meow, Papa Hero dan Aunty. Rupanya Aunty tersenarai dalam orang yang beliau nak jumpa.

    Jam 9.30 malam selepas makan Aunty dan Uncle ajak Nik untuk melihat kucing-kucing Aunty di rumah. Dari riak mukanya macam terkejut lihat jumlah kucing Aunty. Dia tanya berapa jumlah kucing semuanya..? Aunty kata kiralah kalau larat. 

    Pada pukul 12.00 malam Nik minta diri untuk pulang.. Kucing-kucing Aunty dah banyak tidur, penat bermain siang tadi. Uncle pelawa Nik supaya bermalam di Rumah Tetamu, dan beliau setuju.

    Pagi tadi jam 7.30 kelihatan Nik sudah berdiri di depan gate rumah Aunty untuk mengucapkan terima kasih dan pulang ke Kelantan. 





     P/s : Untuk Nik sekali lagi datang kena bawa isteri..