Wednesday, May 30, 2012

Hukuman Tidak Setimpal


Petaling Jaya -  Seorang peniaga mi wantan dihukum penjara sehari dan denda oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku salah mendera seekor anjing dengan menyimbah air panas pada badan haiwan itu 3 bulan lalu.Majistret K.B Elena Hong TYze menyabitkan Ngiu Kok Kong, 42, hukuman tersebut selepas tertuduh mendera anjing jalanan baka Mongrel itu di Kedai Kopi Lucky, Seksyen 17 di sini pada pukul 7.30 malam, 7 Februari lalu.Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Binatang 1953 ( semakan 2006 ) yang membawa hukuman penjara sehingga 6 bulan atau denda maksimum RM200 atau kedua-duanya.Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Veterinar, Chai Heong Onn.Terdahulu, tertuduh memberitahu bahawa anjing liar itu sering datang ke gerainya untuk mencari sisa-sisa makanan."Anjing itu selalu buat kacau, saya tak boleh tahan lagi sebab itu saya simbah dengan air panas." katanya yang kemudian membayar denda itu.

Sumber : Kosmo!


Hukuman yang dikenakan ke atas Ngiu Kok Kong seorang pendera haiwan yang menyimbah air panas pada seekor anjing jenis baka Mongrel dipenjara sehari dan denda RM200.00. Hukuman ini menurut para pecinta haiwan tidak setimpal berbanding dengan kecacatan dan kesakitan yang dialami oleh anjing tersebut. Malah menurut rakan-rakan Aunty kos rawatan yang dibelanjakan adalah melebihi jumlah tersebut. 

Hukuman yang sepatutnya bertujuan mendidik dan mencegah nampaknya gagal memandangkan jumlah denda dan hukuman yang dikenakan adalah lebih murah dari memandu melebihi had laju. Para pendera haiwan tidak akan berasa gerun atau mungkin mentertawakan mereka yang melaporkan perbuatan keji pendera. Dalam hal ini Hakim sebenarnya tidak boleh dipersalahkan kerana hukuman dikenakan berdasarkan peruntukan yang disediakan.  

Para pecinta haiwan termasuk Aunty merasa gembira dan seronok apabila baru-baru ini diwar-warkan bahawa Akta Binatang akan dipinda yang bakal menyediakan hukuman yang berat ke atas pendera Haiwan. Apa yang kita lihat sehingga kini undang-undang itu belum lagi dibentang di Parlimen. Mungkin selepas ini kita akan dengar lebih banyak penderaan terhadap haiwan. Agaknya bila nasib haiwan akan terbela?