Sunday, August 04, 2013

Abu Hurairah R.A. Seorang Pembohong?

Akhir-akhir ini terlalu banyak tohmahan serta tuduhan dan fitnah dilemparkan terhadap para sahabat Rasulullah, salah seorang yang menjadi mangsa dan termasuk di dalam agenda musuh-musuh Islam adalah Abu Hurairah r.a.


Ibnu Qhutaibah dalam kitabnya Takwil Mukhtalaf al Hadis halaman 10-11 yang dinaqalkan oleh Imam Az Zahabi dalam Siyar al-'Alam jilid 2 halaman 435 sebagai berkata bahawa : 'Aisyah, Umar dan Usman beranggapan bahawa Abu Hurairah r.a. sebagai pembohong.

Ibn Qutaibah menyatakannya seperti berikut: 

وأما طعنه على أبي هريرة بتكذيب عمر وعثمان وعلي وعائشة له فإن أبا هريرة صحب رسول الله صلى الله عليه وسلم نحواً من ثلاث سنين وأكثر الرواية عنه وعمر بعده نحواً من خمسين سنة وكانت وفاته سنة تسع وخمسين وفيها توفيت أم سلمة زوج النبي صلى الله عليه وسلم، وتوفيت عائشة رضي الله عنها قبلهما بسنة، فلما أتى من الرواية عنه ما لم يأت بمثله من صحبه من جلة أصحابه والسابقين الأولين إليه اتهموه وأنكروا عليه وقالوا: كيف سمعت هذا وحدك. ومن سمعه معك.
وكانت عائشة رضي الله عنها أشدهم إنكاراً عليه لتطاول الأيام بها وبه، وكان عمر أيضاً شديداً على من أكثر الرواية أو أتى بخبر في الحكم لا شاهد له عليه وكان يأمرهم أن يقلوا الرواية يريد بذلك أن لا يتسع الناس فيها ويدخلها الشوب ويقع التدليس والكذب من المنافق والفاجر والأعرابي.


Adakah benar kenyataan ini?

Apa yang sebetulnya, statement Ibn Qutaibah, yang wafat tahun 276 Hijrah dikeluarkan adalah sebagai membantah tokoh Muktazilah iaitu an-Nazhzham, yang meninggal dunia pada tahun 231Hijrah yang begitu dahsyat  menyerang dan melakukan tohmahan terhadap Abu Hurairah pada sekitar tahun ke 2 Hijrah. 

Ibn Qutaibah mengutip serangan dan tuduhan An-Nazhzham seorang tokoh Muktazilah tersebut (anti-Hadith sekarang ini ) berkisar pada khulafa' arrashidin terutama Umar termasuklah Ummul Mukminin Aisyah yang mengatakan bahawa Abu Hurairah merupakan seorang pendusta.

Ibn Qutaibah menjawab satu persatu dan buat rumusan bahawa terdapat sebilangan sahabat yang khuatir akan banyaknya jumlah hadith yang disebarkan oleh Abu Hurairah, lalu mereka menyuarakan kebimbangan ini, namun tidak sampai menuduh Abu Hurairah sebagai pendusta.

Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Al-Ishabah fi Tamyiz ash-Shahabah mentakrifkan sahabat sebagai

"Ash-Shahabi (sahabat) ialah orang yang bertemu dengan Rasulullah SAW, beriman kepada beliau dan meninggal dalam keadaan Islam”

Di dalam ilmu rijal hadith, sahabat Nabi s.a.w semuanya diiktiraf sebagai thiqah (dipercayai). Secara tidak langsung, sahabat adalah antara golongan pertama yang menerima hadith dari Nabi s.a.w secara terus dan meriwayatkannya kepada generasi seterusnya iaitu tabiin.

Khalifah Umar ibn Khattab r.a pula pernah satu ketika melarang Abu Hurairah r.a dari menyampaikan hadis dan hanya membolehkan menyampaikan ayat Al-Quran. Ini disebabkan tercetus khabar angin bahawa Abu Hurairah r.a. banyak memetik hadis palsu. Larangan khalifah dibatalkan setelah Abu Hurairah r.a. mengutarakan hadis mengenai bahaya hadis palsu.

مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ


Sesiapa berdusta terhadap aku dengan sengaja, maka hendaklah dia mempersiapkan tempat duduknya di dalam api neraka [Al-Bukhariy/ 1291], [Muslim/ 3], [Ibnu Hibban/ 31], [Abu Dawud/ 3651], [At-Tirmizi/ 2659], [Ibnu Majah/ 30, 33, 36, 37], [Ad-Darimi/ 231, 232, 234, 235, 236, 238, 593], dan [Ahmad/ 585, 1078, 1416, 2670, 3791, 3804, 9086, 10350, 11011, 11531, 11700, 12291, 12353, 12687, 12777, 13549, 13558, 13568, 13843, 16071, 16471, 16978]



Biografi Abu Hurairah

Abu Hurairah r.a. dilahirkan 19 tahun sebelum Hijrah. Nama sebenar beliau sebelum memeluk Islam ialah Abd Syams manakala namanya setelah memeluk agama Islam ialah Abdul Rahman. Abu Hurairah telah ke Mekah bersama Tufayl untuk bertemu dengan Nabi Muhammad S.A.W. Rasulullah telah bertanya kepada Abu Hurairah tentang namanya Abdul Syams yang bermaksud hamba matahari. Rasulullah menyarankan Abu Hurairah menukar namanya kepada Abd Rahman yang bermaksud Hamba Allah (yang belah kasihan).

Abu Hurairah r.a. mendapat gelarannya berikutan kegemarannya bermain dengan anak kucing. Pada suatu masa ketika Abu Hurairah r/a. bertemu Rasullullah S.A.W, beliau bertanya apa yang ada dalam lengan bajunya. Apabila Abu Hurairah menunjukkan anak kucing di dalam lengan bajunya, Rasullullah S.A.W. lantas menggelarnya Abu Hurairah yang bermaksud ‘bapa anak kucing’. Semenjak itu beliau lebih suka dikenali dengan gelaran Abu Hurairah.

Beliau berasal dari qabilah al-Dusi di Yaman. Qabilah tersebut diketuai oleh Tufayl Bin Amr. Tufayl telah membantu Abu Hurairah dalam memeluk agama Islam. Qabilah al-Dusi bertempat dipesisiran Laut Merah di selatan tanah Arab. Setelah Tufayl bertemu dengan Rasulullah S.A.W. lalu memeluk agama Islam, Tufayl telah kembali ke qabilahnya dan menyeru penduduk di situ memeluk agama Islam.

Abu Hurairah telah memeluk Islam serta-merta; namun, kebanyakan kaumnya enggan menerima Islam. Abu Hurairah r.a. telah memeluk agama Islam pada tahun 7 Hijrah ketika Rasulullah S.A.W. berangkat menuju ke Khaibar. Abu Hurairah adalah seorang perawi Hadith yang terkemuka. Beliau telah meriwayatkan meriwayatkan 5374 hadith. Abu Hurairah seorang perawi hadith yang terkenal dan antara sahabat yang rapat dengan Rasulullah s.a.w. Sebanyak 325 hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah disepakati oleh Imam Bukhari (256H) dan Imam Muslim (261H). Manakala hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari sendiri sebanyak 93 hadith dan Imam Muslim 189 hadith.

Rasulullah S.A.W. pernah mengutuskan Abu Hurairah berdakwah ke Bahrain bersama Al-Ala ibn Abdillah Al-Hadrami. Dia juga pernah diutus bersama Quddamah R.A. untuk mengutip jizyah di Bahrain, sambil membawa surat ke Amir Al-Munzir ibn Sawa At-Tamimi.

Abu Hurairah adalah sahabat yang sangat rapat dengan baginda Nabi S.A.W. Ia dikenal sebagai salah seorang ahli shuffah, iaitu orang-orang miskin atau sedang menuntut ilmu dan tinggal di laman masjid. Beliau begitu rapat dengan Nabi S.A.W., sehingga baginda selalu menyuruh Abu Hurairah r.a. untuk mengumpulkan ahli shuffah, jika ada makanan yang hendak disedekahkan.

Kerana kepercayaan mendalam oleh Rasulullah S.A.W, Abu Hurairah R.A. diangkat menjadi gabenor Bahrain ketika Khalifah Umar Al-Khattab r.a. menjadi Amirul Mukminin. 

Golongan yang mempertikaikan tentang kesahihan hadits-hadits yang di sampaikan oleh Abu Hurairah r.a. seperti dari golongan orientalis barat, Ignaz Goldizihar yang telah membuat kritikan terhadap hadits dan para perawinya termasuk Abu Hurairah. Tuduhan beliau telah mempengaruhi beberapa penulis Islam seperti Ahmad Amin dan Mahmud Abu Rayyuh untuk mengkritik kedudukan Abu Hurairah sebagai perawi hadits. Tuduhan-tuduhan ini telah disanggah oleh Mustafa al Sibai dalam al Sunnah wa Makanatuha halaman 273-283.

Selain daripada golongan ini terdapat juga kritikan kuat daripada golongan Syiah. Ini disebabkan Abu Hurairah r.a. merupakan penyokong Usman ibn Affan r.a. dan juga pernah menjadi pegawai dinasti Umaiyah. Penolakannya menyandang jawatan gabenor ketika ditawarkan oleh Ali r.a. dan ketiadaan hadith yang berisi pujian atau keistimewaan kepada Ali r.a dan keluarganya mungkin merupakan penyebab lain Abu Hurairah dikritik oleh kaum Syiah.



Thursday, June 27, 2013

Muhammad Fairuz: Siapa Bilang Tidak Cinta

Perjalanan kali ini menuju ke negeri Perak Darul Ridzuan. Bandar Ipoh bandar menemukan aunty dengan seorang jejaka Muhammad Fairuz bin Ahmad Puad yang masih bujang berumur 29 tahun dan bertugas dengan Jabatan Pelajaran Perak,

Muhammad Fairuz
Selain dari itu, Fairuz juga bertugas secara sambilan di Jabatan Pertahanan Awam Kinta, Ipoh Perak. Walaupun agak sibuk dengan dua pekerjaan serentak namun ia tidak menghalang atau mematahkan semangatnya untuk menyelamat haiwan jalanan.

Fairuz tidak seperti Independent Animal Rescuers atau penyelamat haiwan lain yang menyelamat haiwan tanpa mengira lokasi. Tetapi jejaka ini menyelamatkan kucing strays yang datang atau berkeliaran di sekitar rumahnya. Satu demi satu strays tersebut diselamatkan dengan cara memberi makan dan minum di kawasan luar rumah. Setelah jinak dan mudah didekati barulah dibawa ke dalam rumah untuk menjadi sebahagian ahli keluarganya.

Baru direscue
Terdapat juga rakan, jiran atau para pelajar IPTA sekitar Ipoh yang pernah memohon bantuannya untuk menyelamat atau adopt kucing-kucing jalanan yang ditemui. Permintaan mereka ini tidak pernah dihampakan olehnya. Kini dia memiliki sebanyak 25 ekor kucing kesemuanya kucing jalanan.

Ketika mula bekerja dengan jabatan kerajaan jejaka ini bertemu dengan Chico seekor anak kucing yang selalu diberi makan di tempatnya bekerja. Chico akhirnya diadopt oleh Fairuz apabila pejabatnya berpindah ke lokasi lain kerana memikirkan tiada siapa yang akan memberi makan dan minum pada Chico kelak. Di sinilah dia mula terlibat dalam dunia menyelamat haiwan ketika berusia 23 tahun.


Rumah Kucing
Kebanyakan kucing jalanan yang diselamatkan ada yang dijangkiti  selsema, sakit kuning dan sebagainya. Namun itu semua tidak menjadi halangan baginya untuk membawa mereka untuk mendapatkan rawatan di klinik haiwan berdekatan. Segala perbelanjaan diuruskan dengan wang sakunya sendiri. Selain dari itu, Fairuz juga telah membina rumah kucing untuk kucing-kucing yang telah diselamatkan.

Rumah Kucing
Rutin harian Fairuz membersihkan rumah kucing dan memberi makan dan minum pada mereka bermula sebelum bertugas dan disambung kembali apabila pulang dari bertugas.

Kucing- kucing tersebut diberi kibbles dan diselang-selikan dengan ikan rebus bercampur nasi dan makanan dalam tin.


Di antara kucing miliknya
“Bapa saya juga adalah seorang pencinta haiwan dan merupakan insan yang banyak memberi dorongan dan sokongan selain  teman-teman dan rakan sepejabat. Jelasnya apabila ditanya.

Chico
“Saya mempunyai impian yang cukup besar.... Ingin membina sebuah Mini Zoo untuk haiwan jalanan dan semoga ia menjadi kenyataan kelak. 

Saya juga berharap agar lebih ramai orang yang akan bersama NGO yang terdapat di Malaysia untuk membantu strays pada masa hadapan”. jelasnya menutup temubual kami.







Saturday, June 22, 2013

Pada Haiwan Ada Pahala


Ada seorang pemuda bertanya kepada saya apakah yang terjadi kepada haiwan-haiwan pada Hari Akhirat nanti? Adakah akan masuk ke Syurga atau Neraka? Atau bagaimana?

Walaupun jawapannya saya tahu, tetapi banyak perkara yang saya tahu dulu telah tidak sah lagi. Ilmu-ilmu yang dulu saya dapati melalui pembelajaran, kuliah, ceramah dan pembacaan perlu dimurnikan dan dipastikan kesahihannya berdasarkan nas yang benar. Jadi, sebelum saya menjawab kepada pemuda itu, saya memeriksa dahulu di arkib soal-jawab al-Ahkam.net:

Berikut ini jawapannya:

“Semua makhluk akan dikumpulkan di hari Kiamat termasuklah binatang, burung dan yang lain2. Keadilan Allah yang amat sempurna di mana kambing yang tidak bertanduk akan menerima pampasan /ganjaran dari kambing yang bertanduk. Allah akan mengarahkan mereka : ‘Jadilah debu!’. Maka berkatalah orang kafir: "Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan) ‘(Surah al-Naba’ :40]. Ini telah diriwayatkan di dalam Hadith Nabi (secara Marfu’) di dalam hadith tiupan sangka-kala”


[Ahmad Syakir. Umdah al-Tafsir 'an al-Hafiz Ibn Kathir, 1/772, Dar al-Wafaa', 2003].

Ya, mereka menjadi debu. Tidak ke Syurga dan tidak ke Neraka.

Membaca jawapan di atas bisa membuatkan kita berasa insaf dalam banyak aspek. Dalam tulisan ini, saya ingin menyentuh satu aspek yang terngiang-ngiang di fikiran saya beberapa hari ini. Iaitu tujuan apa haiwan-haiwan ini dicipta oleh ALLAH Ta`ala?

Sudah tentunya ada manfaat secara langsung atau tidak langsung kepada alam dan manusia. Khususnya untuk manusia sebagai khalifah di bumi ini. Tidak mungkin sia-sia ALLAH jadikan haiwan dan segalanya.

ربنا ما خلقت هذا باطلا

“Tuhan kami, tidaklah ENGKAU jadikan semua ini sia-sia.”

Saya terbayangkan seekor kucing :



Kucing ini pada Hari Akhirat nanti akan menjadi debu. Terhenti setakat itu. Tidak masuk ke Syurga dan tidak pula ke Neraka.

Sedangkan kita manusia tidak terhenti setakat itu. Kita ada urusan yang lebih besar menanti. Selepas dihisab, kita seterusnya akan diberi nikmat ataupun diazab. Samada menjadi ahli Syurga atau menjadi ahli Neraka.

**Moga-moga ALLAH Ta`ala jadikan kita ahli Syurga dan melindungi kita dari api neraka, amin.

Justeru, kehadiran kucing yang comel ini bukanlah sepatutnya dilayan sekadar untuk diambil manfaat di dunia sahaja. Iaitu hanya untuk menjadi teman bergembira atau bermanja sahaja, tetapi sepatutnya dilihat lebih luas dari itu. Ia adalah ujian ALLAH buat kita yang mana keputusan ujian tersebut hanya kita ketahui pada Hari Akhirat nanti.

Pada seekor kucing yang kita temui di jalanan atau yang kita pelihara ada ujian ALLAH untuk kita. Samada kita berbuat baik atau zalim dengannya, semuanya akan dicatit. Dengan menyedari bahawa ia suatu ujian, maka lakukanlah kebaikan kepadanya. Antara yang baik boleh kita lakukan ialah:
  • Menyantuninya.
  • Memberinya makan atau minum.
  • Menyediakan tempat tinggal.
  • Mengubatinya jika ia sakit.
  • Menolongnya jika ia terjatuh atau tersekat.
  • Menemukan dia dengan rakan-rakan atau ahli keluarganya.
  • Dan sebagainya.
Itu semua bisa memberatkan catitan amal pahala kita. Seterusnya dapat mendekatkan kita kepada redha ALLAH Ta`ala dan SyurgaNYA.

Janganlah pula kucing tersebut menyebabkan kita menambah dosa dengan menyepaknya, dengan mengherdiknya, dengan menipunya, dengan menderanya dan lain-lain yang bisa menyakiti hati dan tubuhnya.

Itu jika kucing.

Sama jugalah dengan haiwan-haiwan lain. Pada semua haiwan samada ia boleh dimakan atau tidak, diternak atau tidak, semuanya boleh kita ambil manfaat untuk Hari Akhirat kita, bukan sekadar manfaat dunia sahaja.

Mereka semua akan jadi debu nanti. Tidak kita!



Antara cara menyemai benih pahala untuk dituai pada Hari Akhirat ialah berbuat baik kepada haiwan.

Justeru, di dunia inilah medan kita membenih pahala. Haiwan-haiwan ini boleh menjadi sebab untuk kita beroleh pahala atau dosa. Jadi, manfaatkanlah kehadiran haiwan-haiwan ini untuk nasib yang baik pada Hari Akhirat nanti. Janganlah zalimi mereka. Tetapi, sayangilah mereka dan berlaku adillah. Moga-moga ia memberatkan lagi catitan amal soleh kita, amin…

Haiwan-haiwan ini boleh dijadikan ‘mesin pahala’ kepada kita. Iaitu melalui mereka, kita dapat menjana pahala kebaikan dari sisi ALLAH Jalla wa A`la. Jangan sampai ia menjadi ‘mesin dosa’ kepada kita pula. Jadi, ia terpulang kepada kita untuk memilihnya:
  • Memilih untuk mendapat pahala melaluinya. Atau:
  • Memilih untuk mendapat dosa melaluinya. Atau:
  • Memilih untuk tidak berbuat apa-apa.
Sebelum mengakhiri celoteh ini, ada baiknya kita sama-sama fahami hadith berikut yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda:

بينما رجلٌ يمشي بطريقٍ ، اشتدَّ عليه العطشُ . فوجد بئرًا فنزل فيها فشرب. ثم خرج . فإذا كلبٌ يلهثُ يأكلُ الثَّرى من العطشِ . فقال الرجلُ : لقد بلغ هذا الكلبُ من العطشِ مثلَ الذي كان بلغ مني . فنزل البئرَ فملأ خُفَّه ماءً ثم أمسكه بفيه حتى رقِيَ . فسقى الكلبَ فشكر اللهُ له . فغَفر له . قالوا يا رسولَ اللهِ ! وإنَّ لنا في هذه البهائمِ لَأجرًا ؟ فقال : في كلِّ كبدٍ رطبةٍ أجرٌ

“Tatkala seorang lelaki sedang berjalan pada sebuah jalan terasalah olehnya dahaga yang sangat. Lalu ia mendapati sebuah sumur dan bersegeralah ia meneruninya untuk minum. 

Ketika keluar, tiba-tiba dia melihat seekor anjing menjulurkan lidah sambil menjilat-jilati debu kerana sangat haus. Lelaki itu berkata: “Anjing ini sedang kehausan seperti aku tadi”. Lalu turunlah dia kembali ke dalam sumur untuk memenuhi sepatu kulitnya dengan air lalu digigit agar dapat naik kembali. Kemudian ia meminumkan air itu kepada anjing tersebut. ALLAH berterima kasih kepadanya lalu mengampuninya. 
Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah kami akan mendapatkan pahala kerana binatang-binatang seperti ini?” 

Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam menjawab: “Pada setiap yang bernyawa (makhluk hidup) ada pahalanya.”  (HR Muslim)

Nah, memang tersedia pahala pada haiwan-haiwan ini untuk kita rebuti, berdasarkan dari kalam Nabi yang mulia, Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam di atas! Tinggal kita mahu memetiknya sahaja…

Allahu A`lam.


Thursday, June 20, 2013

Nora Waisul: Bermula Dengan Tuah

Destinasi yang dituju kali ini membawa aunty ke Kota Melaka, Bandaraya Bersejarah. Kota yang mempuyai  banyak peninggalan sejarah seperti bangunan-bangunan lama dan warisan sejarah untuk tatapan umum.

Nora bersama anaknya
Di sini aunty berpeluang bertemu dengan seorang Independent Animal Rescuer yang tinggal di Klebang Melaka, Nora Faswanti Ibrahim atau Nora Waisul. Wanita yang berumur 30 tahun dan sudah mendirikan rumahtangga amat aktif menyelamat haiwan jalanan.

Nora pasti membawa pulang strays yang ditemui di kaki lima, kedai runcit atau pasar dan sebagainya. Pernah satu ketika Nora terus meminta suaminya memberhentikan kenderaan sebaik terlihat seekor kucing yang berdarah kakinya berhadapan dengan bangunan KFC, ketika itu trafik menjadi sesak seketika apabila kenderaan lain turut berhenti untuk melihat Nora yang sedang menyelamatkan kucing tersebut.

Nora agak terharu sehingga menitiskan airmata setelah mendapat tahu rupanya kucing itu telah terlantar di situ selama dua hari tanpa sesiapa yang membantunya dan dengan segera membawanya ke klinik haiwan untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Kucing yang diberi nama Tuah, telah dirawat dan kaki belakangnya terpaksa dipotong akibat jangkitan kuman yang agak teruk. Tuah dibawa pulang dan dipelihara. 

Tuah
Menurut Nora Tuah sememangnya bertuah kerana tidak banyak meragam tetapi ia tidak suka dicium oleh sesiapa.  Namun hayat Tuah tidak panjang lebih kurang setahun berada dalam jagaanya, kucing ini mati diracun oleh manusia yang tanpa mempunyai hati serta perasaan. Kehilangan Tuah amat dirasai oleh Nora Faswanti serta keluarga sehingga kini.

Wanita ini juga pernah menyelamatkan seekor kucing yang ditemui di sebuah kedai runcit dan membawanya pulang supaya data dijaga dengan baik. Sehingga pada suatu hari kucing yang diberi nama Putih telah mengalami pendarahan pada mulut dan telah disahkan oleh Vet koyak pada lidah dan tidak boleh dijahit. 

Hanya ubat penahan sakit dan cecair untuk  menghentikan darah telah diberi.  Putih kembali sihat, bunting dan selamat melahirkan anak-anak kucing yang comel.

Satu ketika, pasangan suami isteri merupakan kenalan rapatnya berhasrat untuk meminjam Putih untuk dikahwinkan dengan kucing jantan mereka.  
Tuah mati diracun

Sebaik Putih berada dalam jagaan mereka, Putih telah jatuh sakit dah hampir kehilangan nyawa.  Pada ketika itu, apa yang diutamakan oleh pasangan ini bukanlah keselamatan Putih tetapi anak-anak dalam kandungannya. Nora tetap dan tegas dengan keputusannya untuk memberi ubat walaupun hanya Putih sahaja yang akan terselamat atau atau kedua-duanya sekali yang akan pergi. 

Pada hari yang dijanjikan untuk membawa pulang Putih, Nora menerima panggilan bahawa Putih telah pergi.  “Hanya tuhan sahaja yang tahu perasaan Nora pada masa itu. Putih seekor kucing jalanan yang tidak pernah menimbulkan masalah...  Putih pandai buang air besar dan kecil di tandas serta selalu menemani Nora ketika memasak di dapur”  Tuturnya kepada aunty dengan suara yang sayu dan sebak ketika mengimbau kenangan bersama Putih.

Menurutnya lagi, Kos rawatan Putih terpaksa ditanggungnya setelah pasangan tersebut enggan melunaskannya.  Nora akui telah membuat kesilapan kerana tidak melakukan Vaksin serta memandulkan Putih.  Jika tidak ini semua ini dapat dielakkan namun takdir telah menentukan segalanya. Terlalu banyak pengalaman pahit dan manis yang telah dilaluinya namun sedikit sahaja yang boleh digarap dan dikongsi di sini agar boleh dijadikan pedoman pada masa hadapan. 

Oleh kerana kini wanita ini sudah bekerja, rutin harian seawal pagi sebelum dan selepas bertugas pada waktu malam membersih, memberi makan dan minum. Kucing-kucing ini diberi makan kibbles dan kadangkala rebusan ikan bercampur nasi.

Pada ketika ini kucing-kucing peliharaan Nora telah banyak berkurangan kerana kebanyakannya telah mati akibat jangkitan virus.  Hanya yang tinggal sebanyak 10 ekor sahaja. Sedaya-upaya wanita ini cuba menyelamatkan namun ini semua adalah ketentuanNya.

Harapan dan hasrat Nora supaya terdapat lebih ramai pertubuhan yang tampil ke hadapan untuk menyelamatkan haiwan jalanan dan memandulkan mereka agar styars ini mendapat peluang yang lebih lama untuk menjalani kehidupan ini.

Menurut Nora lagi dia sedia membantu sedapat mungkin jika ada diantara teman-temannya yang memerlukan bantuan samada kewangan atau tenaga,


Sungguh mulia hati budi wanita ini walaupun dia bukan dari kalangan orang berada namun dibantu strays yang amat memerlukan bantuan. Harapan aunty semoga usaha murni ini diteruskan tanpa menoleh ke belakang. 






Tuesday, June 18, 2013

Lily Turangan: Membentang Hasrat Di Kotaraya Jakarta

Perjalanan ke seberang laut menemukan aunty dengan seorang lndependent Animal Rescuer yang berada di negara jiran Indonesia. Tempat yang dituju sebuah kotaraya yang sibuk dan sedang pesat membangun, Kota Jakarta.  Wanita yang berusia 33 tahun dan masih bujang, saudari Lily Turangan yang aktif menyelamatkan haiwan jalanan tidak kira kucing mahupun anjing di sekitar  Jakarta.

Lily dibesarkan di dalam sebuah keluarga yang mempunyai ikatan persekitaran yang di kelilingi haiwan seperti ayam dan anjing. Walaupun begitu, tidak pernah terlintas di hatinya bahawa suatu masa kelak ia akan menjadi seorang rescuer.

Lily tidak mengetahui bahawa di luar sana terdapat banyak haiwan jalanan yang memerlukan bantuan. Sehinggalah pada suatu hari, seekor kucing datang ke rumahnya dalam keadaan luka yang besar di belakang tubuh dan luka-luka kecil di kakinya.

Kucing tersebut diberi nama Duren dan keadaannya amat kurus  dan lemah kerana kekurangan zat. Dengan bantuan temannya yang juga merupakan seorang pencinta haiwan, kucing itu dibawa ke vet di lokasi yang terdekat. Menurut vet di klinik tersebut, Duren didapati cedera akibat bergaduh sesama sendiri dan terkena simbahan air panas. 

Lily amat terkejut dan tidak dapat membayangkan betapa kejamnya manusia kerana sanggup mencederakan haiwan seperti kucing. “Kalau tidak suka janganlah sehingga mereka disakiti sedemikian rupa kerana mereka juga makhluk  seperti kita”. Katanya dan sejak saat itu, ia terus aktif menjadi penyelamat haiwan tanpa menoleh ke belakang lagi.

Bagi wanita ini sebaiknya kucing atau anjing yang telah diselamatkan perlu diadopt atau dipelihara. Namun menurutnya perkara ini tidak semudah seperti yang dijangka, adopsi strays adalah hampir mustahil terutamanya di Jakarta. Tidak ramai yang berminat untuk mengadopsi terutamanya strays yang kurang upaya. Akhirnya Lily sendiri mengambil mereka untuk dipelihara, setakat ini sebanyak 12 ekor kucing dan seekor anjing yang tinggal bersamanya sementara yang lainnya berada di luar rumah.  

Rutin harian Lily bermula dengan memberi makan kucing-kucing dan anjing yang berada di dalam rumah kemudian diikuti di luar rumah pula. Anjing dan kucing ini diberi makan kibbles dan diselang-selikan dengan rebusan ikan atau ayam bersama nasi. Amat bertuah haiwan ini kerana adanya seorang insan seperti Lily Turangan yang sanggup membantu mereka mengikut kemampuannya.  

Walaupun persepsi masyarakat di sana masih tidak terbuka dengan konsep adopsi haiwan jalanan. Namun begitu ia tidak keseorangan kadangkala Lily dibantu teman-teman facebook seperti Unyil Chica dan Wid Endah. Mereka saling bertukar pandangan dan memberi buah fikiran sesama sendiri untuk kelangsungan memudahkan urusan menyelamat.

Selain itu, kini para pencinta dan penyelamat haiwan di negaranya sedang giat mengadakan aktiviti pemandulan kucing dan anjing secara bergerak dan mendapat subsidi melalui Steril Yuk yang penaungnya adalah Lily Wijaya dan Mrs Upik. Sambutan yang ditunjukkan oleh penduduk tempatan amat memberangsangkan dan diharap kesedaran di kalangan masyarakat mengenai pemandulan meningkat. Impian Lily semoga setiap rumah akan sanggup untuk mengadopsi haiwan jalanan yang telah diselamatkan di merata tempat. 

Di samping itu mereka juga tidak perlu berkira membelanjakan wang untuk memandulkan setiap strays agar dapat mengekang populasi strays yang semakin meningkat. Selagi ia tidak menjadi kenyataan maka selagi itu, Lily akan menyelamatkan dan mengamalkan TNRM atau Trap Neuter Release and Manage diikuti dengan mendidik masyarakat untuk merubah persepsi.

Menurut Lily, masyarakat umum sering mengaitkan kekejaman yang dilakukan manusia mempunyai hubungkait sikap buas haiwan.

Ini disangkal Lily samasekali dan agak tidak adil kerana mana mungkin haiwan boleh menjadi sekejam manusia yang dikurniakan akal dan fikiran. 

Baginya kekejaman itu wujud dari dalam diri manusia itu sendiri. Manakala sifat ehsan pula terbit dari hati dan sifat mulia seseorang. Wanita ini membuat kesimpulan dengan penuh keyakinan bahawasanya seseorang yang kejam terhadap haiwan  tidak mungkin datang dari seseorang yang berakhlak mulia.




Aunty percaya pendapatnya dikongsi bersama oleh semua pencinta dan penyelamat haiwan. Bagi aunty pekerti yang mulia bermula dari tindakan yang baik termasuk ehsan terhadap haiwan.  Harapan aunty semoga impian Lily bersama pencinta dan penyelamat haiwan yang seangkatan dengannya tercapai jua.



Friday, June 14, 2013

Gee Mohd: Cintanya Dipupuk Sejak Zaman Kanak-Kanak

Sabah negeri di bawah bayu, sebuah negeri yang penuh dengan keindahan alam semulajadi dengan  taman-taman lautnya yang menarik serta pulau-pulaunya yang cantik untuk dikunjungi.  Pasti ramai yang akan jatuh cinta dengan negeri ini serta penduduknya yang ramah mesra. 

Kali ini aunty berkesempatan untuk memperkenalkan salah seorang di antara Independent Animal Rescuer yang cukup aktif di sana. Gee Mohd, anak tempatan yang tinggal di Penampang Jalan Lama, Kota Kinabalu berusia 36 tahun, sudah berumahtangga dan kelihatan ceria, bahagia bersama suami dan 3 orang cahayamata. 

Sifat penyayang terhadap haiwan telah dipupuk oleh keluarganya yang merupakan pencinta haiwan sejak zaman kanak-kanak lagi. Gee ketika itu sudah mempunyai 25 ekor kucing termasuk seekor ibu kucing yang sedang bunting. Kesemuanya dipelihara bersama dengan keluarganya di kampung .  

Menurutnya biar pun rumah tersebut kecil namun anak-anak bulus yang merupakan kucing-kucing yang diselamatkan dari jalanan, kaki lima dan sebagainya dilimpahi dengan kasih-sayang sama seperti ahli keluarga.

Pernah satu ketika, Gee menyelamatkan seekor anak kucing yang terjatuh di dalam parit. Gelagatnya hanya diperhatikan oleh orangramai yang lalu dengan renungan yang tajam tanpa menghulurkan sebarang bantuan. Seolah-olah wanita ini sedang melakukan satu jenayah besar, alhamdulillah kucing tersebut dapat selamatkan. Baginya apa yang dilakukan hanyalah untuk membantu haiwan yang memerlukan tanpa perlu melayan pandangan atau persepsi orang lain. Begitulah sifat cekal dan tegas yang perlu ada pada diri mereka yang ingin bergelar sebagai seorang pencinta dan penyelamat haiwan.


Sehingga kini Gee amat aktif menyelamatkan haiwan jalanan  dengan restu dan sokongan suaminya yang juga merupakan pencinta haiwan.  Banyak yang telah Gee selamatkan dan foster. Tetapi Gee kini hanya menyelamat haiwan jalanan sahaja dan tidak foster, berikutan aduan serta komplen dari jiran-jiran terdekat yang tidak menyenangi kerja-kerja amal yang dilakukannya. 

Kini Gee menyimpan strays yang diselamatkan dalam tempoh sehari atau tidak melebihi dua hari sebelum diserahkan kepada adopter. Gee tidak mahu menjaga lebih lama kerana dikhuatiri akan jatuh cinta dan tidak rela berpisah dengan kucing-kucing tersebut.

Rutin hariannya bermula selepas menghantar anak-anak ke sekolah dan biasanya Gee akan meluangkan masa untuk meronda selama sejam di kawasan sekitar taman perumahan untuk memberi makan dan minum pada strays yang ditemui.  Jika kehabisan stok kibbles, Gee akan memberi roti atau keropok. Alhamdullillah tanpa mengira makanan yang diberi, strays tersebut tetap makan demi mengisi perut mereka. 

Terkini Gee Mohd bekerja dengan SPCA Kota Kinabalu untuk membantu haiwan jalanan terutamanya kucing. Di samping itu, wanita ini juga telah diberi kesempatan untuk menjadi salah satu rescuer di sana dan sudah pasti peluang ini diambil olehnya apabila ada kelapangan.



Di akhir perbualan, wanita yang manis dengan senyuman ini, menyatakan harapan dan cita-citanya, “Sa berharap sangat-sangat banyak lagi individu di luar sana dapat menolong stray ini, cita-cita sa ialah ingin mempunyai sanctuary stray, sebab mereka pun layak untuk hidup dengan aman, sihat, penuh kasih sayang dan of course kenyang .” , Terpancar keikhlasan di raut wajah Gee ketika meluahkan hasratnya dan ini mengakhiri temubual kami.