Wednesday, August 08, 2012

Malunya Aunty - Curi Makanan Pun Orang Marah

Begitulah yang terjadi kepada seorang lelaki berusia 50-an yang ditemui Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) sebaik saja mendapat aduan daripada orang awam yang mendakwa lelaki itu mencuri makanan di surau.

Pengerusinya, Khor Eng Khim berkata, pihaknya menemui lelaki itu yang sedang tidur di tepi parit bersebelahan Stadium Mini Keladi kira-kira jam 12.30 pagi semalam. 

Menurutnya, lelaki itu mengaku kerana terlalu lapar dia terpaksa mengambil sisa kuih dalam surau sebaik solat Terawih dijalankan lalu melarikan diri.

"Dia juga memaklumkan tidak mempunyai wang untuk membeli makanan dan hidup gelandangan sejak lima tahun lalu," katanya. 

Sementara itu, lelaki berkenaan berkata, dia tidak suka dituduh sebagai pencuri. “Aku ada minta pada mereka sedikit kuih tetapi mereka halau aku kerana aku kotor. "Orang selalu tuduh aku mencuri. Itu semua tidak betul.

Aku cuma mahu makan saja," katanya. Dia berkata, sehingga kini tidak ada sesiapa atau pihak bertanggungjawab yang datang membantu.

Dalam pada itu, Eng Khim berkata, masalah itu dapat diselesaikan sekiranya pihak terlibat turun padang dan mendekati nasib mereka yang hidup di jalanan. 

“Orang awam yang menemui lelaki ini memaklumkan kepada saya dia mencuri dan harus diserahkan kepada polis. Pada pendapat saya, dia tak bersalah. 

"Dia sudah meminta kebenaran untuk mendapatkan beberapa kuih untuk dimakan tetapi tidak diberikan sebaliknya dia dihalau. 

"Dia tidak ada pilihan melainkan mencuri kuih itu. Dia mencuri kerana dia lapar dan bukan kerana dia mahu melakukan jenayah. Dalam soal ini di manakah peranan orang ramai serta badan yang bertanggungjawab?," katanya. -SH- 


ULASAN:

Sepatutnya pada bulan Ramadan yang mulia ini kita dianjurkan supaya berbanyak melakukan sedekah dan mempertingkatkan amal. Lelaki ini sudah pasti berada di dalam kelaparan dan sebelum ini dia minta sedikit kuih untuk di makan. Apa salahnya jika diberikan sedikit bukannya habis. Sebaliknya kenapa dihalau jika kerana dia kotor. Tidak peliklah apabila Aunty memberi makan kepada stray ramai yang memberikan komen yang agak negatif, bagaikan haiwan ini dinafikan hak untuk mendapatkan sedikit ehsan manusia. Rupanya manusia kini sudah lenyap sifat ehsan mereka sesama manusia. Lelaki ini kira agak bernasib baik kerana tidak dipukul kerana mencuri sedikit makanan sekadar mengalas perut.